Boustead Heavy Industries terima kontrak sokongan kapal selam TLDM bernilai RM43.6 juta | DagangNews Skip to main content

Boustead Heavy Industries terima kontrak sokongan kapal selam TLDM bernilai RM43.6 juta

Boustead Heavy Industries terima kontrak sokongan kapal selam TLDM  daripada Kementerian Pertahanan bernilai RM43.6 juta. Gambar web BHIC
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 2 Mei - Boustead Heavy Industries Corporation Berhad (BHIC) menerima kontrak sokongan kapal selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)  daripada Kementerian Pertahanan bernilai RM43.6 juta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, BHIC berkata, pada 30 April lalu anak syarikat milik penuhnya, BHIC Submarine Engineering Services Sdn Bhd (BSES) telah menerima Surat Anugerah bertarikh 17 April 2024 daripada Kementerian Pertahanan, yang mewakili kerajaan.

 

Kementerian Pertahanan katanya, menganugerahkan BSES perluasan ruang lingkup kerja dan harga siling kontrak tambahan untuk Sokongan Perkhidmatan Interim (ISS) bagi Kapal Selam Kelas Perdana Menteri Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan nilai RM43.6 juta.

 

 

Menurut BHIC, satu kontrak rasmi antara Kerajaan Malaysia dan BSES akan diputuskan dan dilaksanakan pada tarikh kemudian.

 

Kontrak ini akan menyumbang secara positif kepada pendapatan Kumpulan BHIC bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2024, kata BHIC hari ini.

 

"Kecuali Tan Sri Aziah Ali dan Dr Salihin Abang yang masing-masing adalah Pengarah BHIC dan BSES, tiada mana-mana pengarah atau pemegang saham utama syarikat, atau individu yang berkaitan dengan mereka, memiliki sebarang kepentingan, sama ada langsung atau tidak langsung dalam kontrak ini," katanya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Hapus hutang berkaitan LCS, Boustead Heavy Industries lapor rugi bersih RM256.7 juta pada suku keempat 

 

Rugi bersih BHIC terus melebar pada suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23) berbanding setahun sebelumnya terutama disebabkan peruntukan bagi projek kapal tempur pesisir (LCS) yang telah lama tertangguh.

 

Kerugian bersih bagi tiga bulan berakhir 31 Disember 2023 ialah RM256.72 juta berbanding RM26.48 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

 

Syarikat itu menempah elaun untuk jangkaan kerugian kredit sebanyak RM261.4 juta yang merupakan hutang daripada Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd, atau Lunas.- DagangNews.com