KUALA LUMPUR 8 Dis - BP Plastics Holding Berhad sedang menghadapi penurunan permintaan yang ketara kesan daripada ekonomi global yang perlahan.
Bagaimanapun Kenanga Research berkata, pelan perkembangannya berjalan seperti dirancang dengan pengambilalihan kilang yang akan digunakan semula sebagai gudang selain penempatan mesin baharunya.
"Ketika kami mengekalkan unjuran untung bersih FY22, kami 'memotong' unjuran untung bersih sebanyak 13% bagi FY23 dalam mencerminkan jualan mereka selain kadar penggunaan sebanyak 60% selain ekonomi global yang perlahan.
"Kadar penggunaan kumpulan itu sebelum pandemik adalah antara 70% hingga 75%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu menyukai kumpulan itu berdasarkan kedudukannya yang kukuh di pasaran Asia Tenggara dan ia dijangka kekal mampan disebalik berlakunya kemelesetan ekonomi.
Katanya, aliran tunai dan kunci kira-kira yang kukuh membolehkan mereka menghadapi sebarang kemungkinan selain perkembangan kapasiti jangka masa panjang menerusi produk filem pembungkusan yang menawarkan margin keuntungan yang tinggi.
"Bagaimanapun, kami bimbang dengan penurunan ketara dalam permintaan sekiranya berlaku kelembapan mendadak atau kemelesetan ekonomi global," katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'market perform' dengan harga sasaran lebih rendah sebanyak 11% kepada RM1.23 sesaham.
Dalam pada itu, kumpulan itu berdepan pelbagai risiko termasuk harga resin yang kekal tinggi, pengurangan permintaan terhadap produk pembungkusan akibat ekonomi global yang perlahan selain kekurangan tenaga pekerja. - DagangNews.com