Boustead Heavy Industries catat kerugian lebih besar pada 3QFY2024 kepada RM11.9 juta | DagangNews Skip to main content

Boustead Heavy Industries catat kerugian lebih besar pada 3QFY2024 kepada RM11.9 juta

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 28 Nov - Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC) mencatatkan kerugian bersih RM11.9 juta bagi suku ketiga tahun kewangan berakhir 2024 (3QFY24), berbanding kerugian bersih RM5.7 juta tempoh yang sama setahun lalu.

 

Ini berlaku walaupun peningkatan 86 peratus dalam hasil kepada RM71.7 juta daripada RM38.5 juta tahun sebelumnya, didorong oleh In-Service Support 2 (ISS 2) untuk kapal selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), dan kontrak penyelenggaraan kemudahan kapal selam TLDM.

 

“Kerugian selepas cukai (LAT) disebabkan terutamanya oleh kerugian nilai saksama sekali sahaja sebanyak RM14.8 juta berkaitan dengan pelupusan Contraves Advanced Devices Sdn Bhd (CAD).

 

"Pelupusan itu mencerminkan penjajaran semula strategik BHIC, membolehkan kumpulan itu keluar dari perniagaan Littoral Combat Ship (LCS), yang telah menjadi bukan teras, dan mengalihkan sumber ke arah pertahanan dan peluang komersial yang bertumpu pertumbuhan," kata syarikat itu.

 

 

Feroz Razi Ramli
                        Feroz Razi Ramli

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif BHIC Feroz Razi Ramli berkata, kumpulan itu menjangkakan kontrak kapal selam dan ISS untuk helikopter EC725 Tentera Udara Diraja Malaysia dan pembekalan dan penghantaran alat ganti, penyelenggaraan dan latihan untuk kontrak meriam Bofors 40MM L70 TLDM menyumbang secara positif kepada pendapatan pada FY24 

 

"Tumpuan strategik kami untuk mengoptimumkan sumber dan mengukuhkan kecekapan teras kami memastikan BHIC bersedia untuk pertumbuhan masa depan.

 

"Walaupun pertahanan kekal sebagai kekuatan utama kami, kami sedang giat mengejar peluang mempelbagaikan aliran hasil kami dan menyumbang kepada sektor komersial, mewujudkan model perniagaan yang seimbang dan mampan yang memberi manfaat kepada semua pihak berkepentingan", tambahnya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Boustead Holdings Bhd (BHB) Izaddeen Daud berkata, penekanan berterusan kerajaan terhadap pengukuhan pertahanan maritim, termasuk inisiatif membabitkan helikopter, kapal selam dan sistem pertahanan, memberikan peluang besar kepada BHIC.

 

"Sebagai sebahagian daripada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan cabang pertahanan BHB, BHIC mempunyai kedudukan unik untuk memainkan peranan penting dalam memajukan keupayaan pertahanan Malaysia sambil menyumbang kepada keselamatan negara dan pembangunan ekonomi," tambahnya.

 

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 Sept 2024 (9MFY24), BHIC mencatatkan keuntungan bersih RM6.54 juta, berbanding kerugian bersih RM7.16 juta tempoh sama tahun lalu.

 

Sementara itu, pendapatannya menyaksikan lonjakan kepada RM191.81 juta, daripada RM77.6 juta. - DagangNews.com

 

{"preview_thumbnail":"/sites/default/files/styles/video_embed_wysiwyg_preview/public/video_thumbnails/_eRLziW4Pbg.jpg?itok=DNqMrD7x","video_url":"https://youtu.be/_eRLziW4Pbg","settings":{"responsive":1,"width":"854","height":"480","autoplay":1},"settings_summary":["Embedded Video (Responsive, autoplaying)."]}