KUALA LUMPUR 3 Jun - Penyahsenaraian Brahim’s Holdings Berhad dari Bursa Malaysia yang berkuatkuasa hari ini, tidak akan memberi kesan ketara kepada Kumpulan Syarikat Dewina yang beroperasi seperti biasa.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan Brahim’s, Dato’ Seri Ibrahim Ahmad berkata, Kumpulan Dewina mengendalikan segala pembuatan dan pembekalan produk-produk dan perkhidmatan berjenama Brahim’s yang beroperasi di bawah syarikat induknya, Dewina Holdings Sdn Bhd, jadi `tidak akan ada sebarang gangguan perniagaan akibat acara penyahsenaraian ini'.
Menurutnya, tiada kesan ketara ke atas Kumpulan Syarikat Dewina yang terdiri daripada Dewina Food Industries, pengeluar produk makanan jenama Brahim’s: Desatera yang menjalankan perkhidmatan katering untuk angkatan tentera dan pelbagai institusi awam dan swasta; Dewina Consult yang merupakan cabang penyelidikan dan perundingan untuk Kumpulan Syarikat Dewina; dan Dewina Trading, pengedar produk jenama Brahim’s.
Kumpulan Dewina diasaskan pada 1986 oleh Ibrahim dan sejak itu telah meningkatkan kehadiran jenama Brahim’s dalam sektor pembuatan makanan dan katering Halal.
Operasi Kumpulan Dewina termasuk pembuatan dan pemasaran makanan, katering, operasi restoran, pengurusan kemudahan dan pergudangan serta perkhidmatan perundingan Halal.
“Ketahanan jenama Brahim’s telah membantu kami mengharungi segala cabaran akibat penularan wabak COVID-19.
"Kami yakin kebangkitan semula sektor ekonomi, terutamanya industri pelancongan, akan memberikan peluang yang lebih besar untuk kami mengembangkan lagi kehadiran jenama kami,” kata Ibrahim dalam kenyataan di sini hari ini.
Brahim's Holdings Bhd yang berstatus Nota Amalan 17 (PN17) dinyahsenarai pada 3 Jun ini, iaitu 28 tahun selepas syarikat itu disenaraikan pada 1994, berikutan penolakan Bursa Malaysia terhadap rayuan kumpulan itu untuk tambahan masa bagi menyerahkan pelan penyusunan semulanya.
Bursa Malaysia berkata sekuriti kumpulan itu yang kini didepositkan dengan Bursa Malaysia Depository Sdn Bhd mungkin kekal didepositkan, walaupun sekuriti itu dinyahsenarai.
BERITA BERKAITAN: Saham Brahim's dinyahsenarai dari Bursa Malaysia 3 Jun 2022
“Sebagai alternatif, pemegang saham syarikat yang berhasrat untuk memegang sekuriti mereka dalam bentuk sijil fizikal boleh mengeluarkan sekuriti ini daripada akaun Sistem Depositori Pusat (CDS) mereka yang diselenggara dengan Bursa Depository pada bila-bila masa selepas sekuriti syarikat itu dinyahsenarai daripada senarai rasmi Bursa Securities.
“Ini boleh dilaksanakan oleh pemegang saham yang mengemukakan borang permohonan untuk pengeluaran mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Bursa Depository,” kata bursa itu.
Ia menambah bahawa Brahim's akan terus wujud apabila dinyahsenarai, tetapi sebagai entiti tidak tersenarai.
Brahim's diklasifikasikan sebagai penerbit tersenarai berstatus PN17 pada 28 Feb 2019 selepas ekuiti pemegang sahamnya jatuh di bawah ambang 25%. - DagangNews.com