Budayakan keselamatan makanan, hindarkan pembaziran di bulan Ramadan | DagangNews Skip to main content

Budayakan keselamatan makanan, hindarkan pembaziran di bulan Ramadan

Oleh Muhamad Afiq bin Abd Razak

KEUNIKAN bulan Ramadan tidak asing lagi dimeriahkan dengan kewujudan bazar Ramadan. Hampir boleh dikatakan, setiap lokaliti, pastinya akan ada ruangan yang pembukaan bazar Ramadan di Malaysia.

 

Setelah peralihan ke fasa endemik COVID-19, ruang dan peluang untuk peniaga makanan tempatan untuk memasarkan juadah berbuka kembali setelah sekian lama tertangguh.

 

Pelbagai jenis makanan, dijual termasuklah masakan panas, lauk-pauk, kuih-muih, minuman mudah untuk didapati dalam bazar Ramadan.

 

Bazar ramadan berperanan penting dalam memulihkan dan membangunkan ekonomi umat Islam khususnya peniaga makanan dapat meraih pendapatan serta mata pencarian semasa bulan Ramadan dan pada masa yang sama dapat memberikan pilihan kepada warga masyarakat untuk membeli juadah berbuka, khususnya bagi mereka yang menghadapi kekangan kesibukan bekerja.


 

parafrasa

 


Sungguhpun demikian, di antara perkara yang penting perlu dititikberatkan adalah aspek keselamatan makanan. Acapkali didengari tatkala menjelang bulan Ramadan, terdapatnya kes pencemaran makanan seperti makanan rosak, basi dan tidak lagi dapat dimakan kerana sudah tidak elok yang dijual oleh sebahagian pihak yang tidak bertanggungjawab.

 

Insiden seperti ini bukan sahaja mencemarkan kesucian bulan Ramadan, malah membahayakan kesihatan pengguna kerana risiko keracunan makanan.

 

Oleh yang demikian, perlunya kepada pembudayaan, penghayatan dan pengamalan terhadap keselamatan makanan dalam penyediaan makanan khususnya di Bazar Ramadan.

 

Punca utama kepada berlakunya pencemaran makanan adalah pengabaian kepada amalan kebersihan serta penjagaan suhu dalam proses penyediaan makanan.  

 

Aspek ini perlu dikawal dan dipelihara di sepanjang proses penyediaan makanan kerana setiap peringkat adalah terdedah kepada risiko pencemaran.

 

Pengabaian kepada aspek kebersihan makanan akan membawa kepada keadaan makanan tidak selamat untuk dimakan. Makanan yang tercemar disebabkan oleh bakteria patogen yang memudaratkan manusia.

 

Penjagaan kepada keselamatan makanan adalah wajib dan tidak boleh diabaikan, iaitu asasnya adalah pemeliharaan terhadap aspek kebersihan (hygiene) lingkungan penghasilan makanan.


 

parafrasa

 


Ini termasuklah aspek pengendali, peralatan penyediaan, makanan itu sendiri, premis dan sekelilingnya mestilah bersih, dicuci, disanitasi, serta bebas dari sebarang risiko masuknya agen-agen pencemaran mahupun haiwan perosak seperti lalat, tikus dan sebagainya.

 

Antara langkah dalam memelihara keselamatan makanan adalah makanan perlulah dimasak dengan sempurna untuk mengelakkan pencemaran biologikal berlaku. Makanan yang telah dimasak perlulah dikendalikan dan disimpan pada suhu selamat.

 

Makanan yang dipanaskan semula mestilah dipanaskan bagi menghindari risiko penyakit bawaan makanan. Selain itu, makanan yang telah siap dimasak perlulah disimpan dengan betul supaya tidak terdedah kepada risiko pencemaran dan gangguan haiwan perosak.

 

Makanan yang didapati tercemar tidak seharusnya dijual kerana boleh memberi mudarat sekiranya dimakan. 

 

Justeru, kebersihan juga merupakan perkara yang dituntut dalam agama Islam. Pematuhan kepada halalan tayyiban tidak sahaja melihat kepada sumber makanan yang diperbuat daripada bahan-bahan yang halal dari sudut syarak, akan tetapi aspek tayyiban juga dituntut iaitu aspek kebersihan dan keselamatan makanan.

 

Maka, dapat dirumuskan bahawa aspek kebersihan makanan, yang menjadi asas utama kepada pemeliharaan keselamatan makanan jelas sebagai satu tanggungjawab yang perlu diambil dengan penuh amanah.


 

parafrasa

 


Kempen pembudayaan, penghayatan dan pengamalan keselamatan makanan perlu digiatkan dalam bulan Ramadan memadangkan bazar Ramadan merupakan medan ikhtisas umat Islam.

 

Pemantauan berkala juga bertepatan untuk dijalankan serta penguatkuasaan terhadap premis-premis agar amalan kebersihan sentiasa dipatuhi dan dihayati sekaligus mengurangkan kadar pembaziran makanan di bulan yang mulia ini. – DagangNews.com

 
 
Muhamad Afiq bin Abd Razak adalah Pensyarah Pengurusan Industri Halal, Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam