Bulan Teknologi Malaysia 2020: Strategi pembangunan ekonomi digital | DagangNews Skip to main content

Bulan Teknologi Malaysia 2020: Strategi pembangunan ekonomi digital

 Bulan Teknologi Malaysia 2020

KUALA LUMPUR 10 Nov. - Bulan Teknologi Malaysia 2020 (MTM 2020) memainkan peranan penting sebagai satu strategi untuk membangunkan kerajaan dan mengekalkan ekonomi digital yang berdaya saing.

 

Strategi itu termasuk membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi digital selain menarik lebih ramai pelabur yang berkepentingan dalam sektor digital dan teknologi.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Surina Shukri berkata, MDEC memainkan peranan penting bagi memastikan teknologi digital menjadi pusat pertumbuhan sosio-ekonomi Malaysia dalam tempoh norma baharu.

 

"Bagi mencapai perkara itu, kita juga harus memastikan bahawa inisiatif sekarang atau yang akan datang adalah relevan dengan keperluan syarikat permulaan dan PKS.

 

"Mereka mesti mula berfikir ke peringat serantau dan seterusnya ke peringkat global," jelasnya dalam satu kenyataan bersempena dengan pelancaran maya MTM 2020 hari ini.

 

MTM 2020 yang mula dilancarkan hari ini akan terus berlangsung sepanjang November 2020.

 

Bulan Teknologi itu menyediakan pelbagai acara dengan kerjasama daripada pelbagai rakan industri.

 

MTM 2020 menekankan peranan Malaysia dalam mengembangkan ekonomi digital dan kedudukan penggerak utama negara di ASEAN selain persediaan kepada Revolusi Industri Keempat (IR4).

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran MDEC, Raymond Siva memberitahu, MDEC mengajak orang ramai untuk memberi fokus yang mendalam terhadap tawaran yang akan diberikan dalam ekosistem teknologi digital.

 

"Ekonomi digital akan menjadi pemacu utama (ekonomi Malaysia) yang turut merangkumi e-dagang sebagai sebahagian daripadanya. 

 

"Kami telah melihat prestasi e-dagang berkembang dengan pesat terutamanya dalam tempoh COVID-19," jelasnya lagi. - DagangNews.com