Bursa berakhir pada 1,500 mata, saham DNeX paling rancak sepanjang hari | DagangNews Skip to main content

Bursa berakhir pada 1,500 mata, saham DNeX paling rancak sepanjang hari

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Bursa Malaysia mengakhiri dagangan melepasi paras rintangan 1,500 mata disokong perkembangan positif dalam perkembangan ekonomi tempatan di tengah-tengah kemelut politik yang belum berakhir.

 

Ini berikutan keputusan kerajaan memberi kelonggaran kepada penerima 2 dos vaksin COVID-19 lengkap, meningkatkan keyakinan ke arah pemulihan ekonomi secara berancur-ansur.

 

Petang ini, indeks utama FBM KLCI berakhir positif menokok 7.71% atau 0.52% kepada 1,504.44 mata dengan 4.59 bilion saham bertukar tangan bernilai RM3.1 bilion. 

 

Keseluruhan pasaran bagaimanapun menyaksikan kaunter rugi mengatasi untung pada 654 berbanding 433 manakala 407 kaunter tidak berubah.

 

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, saham pengeluar sarung tangan getah, Hartalega Holdings Bhd. dan Kossan Rubber Industries Bhd masing-masing ditutup tinggi pada RM6.94 setelah menokok 23 sen dan naik 19 sen kepada RM3.33. 

 

Ini diikuti dengan saham Kuala Lumpur Kepong Bhd. menokok 26 sen kepada RM19.60 dan MR DIY Bhd. naik 19 sen kepada RM3.80.

 

Bagi kaunter aktif, saham Dagang Nexchange Bhd. (DNeX) paling rancak diniagakan sepanjang hari sebelum berakhir pada 81.5 sen petang ini dengan 284.05 juta saham bertukar tangan.

 

Saham syarikat ini meningkat sejak sesi dagangan pagi didorong oleh pengumuman kumpulan itu mengenai pelan pengambilalihan dan memperoleh kontrak melalui anak syarikatnya pada Isnin.

 

Selain DNeX, saham TA Win Holdings Bhd. juga aktif dengan berakhir pada 17.5 sen setelah menokok 0.05 sen diikuti M3 Technologies (Asia) Bhd. naik 1.5 sen kepada 7 sen.

 

Dagangan kaunter untung pula, saham Genetec Technology Bhd. mendahului dagangan sepanjang hari ini dengan melonjak RM1.60 kepada RM27 ketika ditutup petang ini.

 

Selain itu, saham Kumpulan H&L High Tech Bhd. menokok 51 sen kepada RM5.10 diikuti Widetech (Malaysia) Bhd. berakhir pada RM4.04 setelah meningkat 44 sen. 

 

Sebaliknya, Malaysian Pacific Industries Bhd. (MPI) mendahului kaunter rugi merosot RM1.20 kepada RM43.50. 

 

Pecca Group Bhd, juga ditutup rendah pada RM3.29 dengan menyusut 49 sen diikuti KESM Industries Bhd. susut 48 sen kepada RM12.54. 

 

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank Research berkata, pasaran akan terus bergelora dalam tempoh jangka pendek sekiranya tanpa sebarang pemangkin utama. 

 

"Dengan paras rintangan sekitar 1,510 hingga 1,534 mata, ia berada di tengah-tengah lonjakan yang dipengaruhi ketidaktentuan politik semasa, jangkitan harian COVID-19 masih tinggi dan juga musim laporan kewangan pada Ogos," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Bagi pasaran kewangan, ringgit petang ini ditutup pada RM4.2380/2420 berbanding dolar Amerika Syarikat(AS), lebih rendah daripada penutupan Isnin, RM4.2270/2300. - DagangNews.com