Bursa Malaysia lantik bekas pegawai kanan KWSP, Tan Ler Chin sebagai ahli lembaga pengarah | DagangNews Skip to main content

Bursa Malaysia lantik bekas pegawai kanan KWSP, Tan Ler Chin sebagai ahli lembaga pengarah

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Bursa Malaysia Bhd melantik Tan Ler Chin sebagai pengarah bebas bukan eksekutifnya, berkuat kuasa hari ini.

 

Menurut bursa, Tan membawa bersamanya banyak pengalaman dan pengetahuan mendalam tentang pasaran kewangan dan strategi pelaburan, daripada pelbagai peranan pengurusan kanan yang dipegangnya, yang menjangkau 37 tahun dalam dana persaraan terbesar negara, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

 

Tan, 62, bersara daripada KWSP pada April 2021, di mana kali terakhir beliau memegang jawatan ketua jabatan risiko.

 

Pada masa ini, Tan berkhidmat sebagai pengarah bebas bukan eksekutif Affin Islamic Bank Bhd, Senheng New Retail Bhd, Sunway Construction Group Bhd, dan QL Resources Bhd.

 

Tan memiliki ijazah kepujian dalam bidang ekonomi dalam jurusan statistik dari Universiti Kebangsaan Malaysia, diploma dalam analisis pelaburan daripada Persatuan Produktiviti Malaysia, dan diploma perakaunan dan kewangan yang diperakui oleh Persatuan Akauntan Bertauliah. Beliau juga telah menghadiri program perbankan Wharton-National University of Singapore.

 

Sharifatu Laila Syed Ali
                       Sharifatu Laila Syed Ali

 


Sementara itu, Bursa Malaysia juga mengumumkan peletakan jawatan Sharifatu Laila Syed Ali sebagai pengarah kepentingan awam dan pengarah bukan eksekutif bebasnya, berkuat kuasa Rabu, "untuk mengejar kepentingan lain".

 

Sharifatu Laila telah berkhidmat di Bursa Malaysia sejak 1 Oktober 2020. - DagangNews.com