Bursa mengukuh, ringgit susut | DagangNews Skip to main content

Bursa mengukuh, ringgit susut

 

 

 

KUALA LUMPUR 3 Feb. - Pasaran tempatan ditutup tinggi petang ini susulan kenaikan harga minyak mentah yang mencecah AS$55 setong, paras tertinggi dalam tempoh setahun. 

 

Ini menyaksikan indeks utama FBM KLCI menokok 2.5 mata untuk ditutup kepada 1,582.99 mata.

 

Keseluruhan pasaran juga positif dengan kaunter untung mengatasi rugi pada 736 berbanding 427 manakala 429 kaunter tidak berubah. 

 

Jumlah dagangan sebanyak 6.1 bilion bernilai RM4.9 bilion. 

 

Bagi pasaran kewangan, ringgit ditutup pada RM4.0470/0510 berbanding dolar AS, lebih rendah daripada penutupan semalam pada RM4.0430/0460.

 

Setakat petang ini, Brent naik 0.56% kepada AS$57.79 setong manakala West Texas Intermediate menokok 0.38% kepada AS$54.97 setong. 

 

Malacca Securities Sdn. Bhd. dalam nota kajian berpendapat kaunter minyak dan gas mungkin meningkat lebih tinggi, disokong kenaikan harga minyak mentah Brent hampir 2%, melonjak kepada paras tertinggi dalam tempoh 12 bulan.

 

"Pelabur mungkin terus mencari saham di bawah sektor pengangkutan dan logistik, perladangan, elektronik pengguna dan penjagaan kesihatan menjelang tempoh pelaporan prestasi kewangan,” katanya. 

 

Dalam pada itu, Inter-Pacific Research Sdn. Bhd. berkata, walaupun pasaran masih kurang yakin ekoran lanjutan PKP tetapi ia mampu bangkit semula daripada penutupan semalam apabila indeks utama cuba mencari kestabilan dan membina asas pada paras antara 1,580 hingga 1,600 mata.

 

"Dalam masa sama, kenaikan indeks utama di luar negara juga memberi rangsangan jangka pendek kepada indeks utama untuk berlegar lebih tinggi.

 

"Di samping itu, terdapat rintangan pada tahap 1,590 mata manakala paras sokongan ditambat pada 1,575 dan 1,566 mata," katanya dalam buletin harian. 

 

TA Securities Research pula berkata, masih terdapat risiko berikutan peningkatan kes COVID-19 dan PKP 2.0 tetapi ia tidak mengheret turun prospek pertumbuhan tahun ini.

 

Firma itu mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar pada 6.4% memandangkan kerajaan membenarkan 5 sektor ekonomi beroperasi dalam tempoh PKP 2.0 iaitu perindustrian dan pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan pengedaran serta perladangan dan komoditi.

 

"Sebahagian besar impak utama adalah perbelanjaan pengguna yang lemah dan kesannya kepada industri perkhidmatan," katanya. 

 

Bagi PKP kali ini, TA Securities menjangkakan antara 80 hingga 85% aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi berbanding hanya 50% ketika PKP 1.0 tahun lalu. - DagangNews.com