KUALA LUMPUR 4 Ogos - Bursa Malaysia Bhd mengeluarkan kertas perundingan untuk mendapatkan maklum balas awam mengenai cadangan pindaan ke atas Keperluan Penyenaraian Pasaran ACE.
Langkah itu bertujuan memudah cara Bursa Malaysia sebagai pusat sehenti untuk semua kelulusan berkaitan tawaran awam awal (IPO) dan pendaftaran prospektus bagi Pasaran ACE.
“Kajian semula menyeluruh terhadap Keperluan Penyenaraian Pasaran ACE telah dilaksanakan oleh pihak bursa susulan pindaan ke atas Jadual 6 dan 7 dalam Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA), yang akan membolehkan bursa mengambil alih fungsi pendaftaran prospektus daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), berkuat kuasa mulai 1 Jan, 2022,” jelasnya dalam kenyataan pada Selasa.
Penambahbaikan penting ke atas Keperluan Penyenaraian Pasaran ACE yang dicadangkan adalah termasuk memperkemas lagi rangka kerja IPO Pasaran ACE menerusi, antaranya, memperkenalkan proses perundingan mandatori sebelum penyerahan permohonan IPO; memasukkan kepentingan pelabur sebagai antara pertimbangan bagi IPO Pasaran ACE serta mengenakan moratorium ke atas saham pelabur sebelum IPO, yang telah dilanggan atau diperoleh berlandaskan termaterma yang baik berbanding dengan pelabur lain.
Cadangan itu termasuk menetapkan keperluan berkaitan kandungan, standard pendedahan dan proses pendaftaran prospektus, menurut Bursa Malaysia.
“Cadangan penambahbaikan lain ialah mempertingkatkan rejim Penajaan Pasaran ACE dan memperkemas Keperluan Penyenaraian Pasaran ACE dengan Buku Panduan Pelesenan; Garis Panduan Penyerahan Cadangan Korporat dan Produk Pasaran Modal; Garis Panduan Ekuiti serta Garis Panduan Prospektus SC, yang mana sesuai,” tambahnya.
Menurut Bursa Malaysia, menerusi kajian semula ini, pihaknya menyasar untuk mencapai kecekapan pasaran dan keberkesanan yang lebih tinggi menerusi rangka kerja pengawalseliaan yang dipertingkatkan, dengan ia menjadi pihak berkuasa tunggal bagi kelulusan IPO Pasaran ACE.
Ia juga mahu merealisasikan rejim penajaan bernilai tambah bagi Pasaran ACE dengan penaja dan pegawai yang berkualiti dan bertanggungjawab di samping mendukung perlindungan pelabur menerusi pendedahan mencukupi dan berkualiti dalam permohonan IPO dan prospektus serta mempertingkatkan rejim penguatkuasaan berdasarkan Keperluan Penyenaraian Pasaran ACE.
“Kertas perundingan mengenai cadangan pindaan ke atas Keperluan Penyenaraian Pasaran ACE kini tersedia di https://www.bursamalaysia.com/regulation/public_consultation. Pihak yang berminat dipelawa mengemukakan pandangan dan maklum balas kepada Bursa Malaysia sebelum 14 Sept, 2021,” jelasnya. - DagangNews.com