Sime Darby Property bina Kanopi Residences dengan nilai pembangunan kasar RM299 juta | DagangNews Skip to main content

Sime Darby Property bina Kanopi Residences dengan nilai pembangunan kasar RM299 juta

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 15 Nov - Sime Darby Property akan melancarkan pembangunan kondominium terbaharu yang dinamakan Kanopi Residences di City of Elmina seluas 2.63 hektar di Shah Alam pada 23 November 2024.

 

Projek setinggi 36 tingkat itu mempunyai nilai pembangunan kasar sebanyak RM299 juta, menawarkan 449 unit dengan setiap satunya berkeluasan 1,000 kaki persegi beserta tiga bilik tidur, dua bilik mandi dan sekurang-kurangnya dua tempat letak kereta.

 

Ketua Pegawai Operasi Pembangunan Bandar Sime Darby Property, Appollo Leong berkata, Kanopi Residences terletak di lokasi strategik di tengah-tengah City of Elmina, menjadikannya satu pembangunan yang penting. 

 

Pembangunan tersebut mempunyai lebih daripada 35 kemudahan bertemakan kesejahteraan, termasuk taman, kolam renang dan kawasan riadah. 

 

Penduduk juga boleh mengakses Elmina Central Park seluas 121.04 hektar, yang menampilkan taman tema dan ruang rekreasi.

 

Selain itu, Kanopi Residences telah dianugerahkan pensijilan GreenRE Silver kerana menggabungkan reka bentuk yang cekap tenaga, sistem pengumpulan air hujan dan bahan mesra alam. 

 

"Pendekatan yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar ini selaras dengan komitmen lebih luas Sime Darby Property untuk mewujudkan komuniti yang mampan," katanya dalam satu kenyataa, hari ini.

 

Kemudahan berhampiran projek itu termasuk Elmina Lakeside Mall, SJK(C) Regent Elmina yang bakal dibuka pada 2026, Sekolah Menengah Akademik Chong Hwa (dibuka 2027), SK Denai Alam (dibuka 2026) dan SMK Denai Alam (dibuka 2028).

 

Kanopi Residences boleh diakses melalui Lebuhraya LRT Damansara-Shah Alam dan Lebuhraya Guthrie Corridor.

 

Sementara itu, kenyataan tersebut juga mendedahkan bahawa pemaju akan memperkenalkan beberapa tambahan lagi kepada bandar tersebut termasuk pengembangan taman, kemudahan sukan dan pemasangan seni. - DagangNews.com