KUALA LUMPUR 15 Nov - Kenanga Research menyemak turun unjuran pendapatan untuk MR DIY Group Bhd sebanyak 9% bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 dan 8% untuk FY25 kesan daripada tekanan kos.
Katanya, pelarasan itu mencerminkan pengurangan dalam saiz purata dan pertumbuhan jualan kedai sama (SSSG) yang perlahan.
“Walaupun berlaku kenaikan gaji minimum dan penangguhan subsidi petrol RNO95 boleh menyokong perbelanjaan pengguna tetapi, tekanan jangka pendek ke atas kos mungkin tidak diteruskan sepenuhnya buat masa ini," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu menurunkan penarafan kumpulan kepada 'market perform' berbanding 'outperform' denga harga sasaran (TP) RM2.20 sesaham.
Terdahulu, untung bersih suku ketiga MR DIY bagi tempoh berakhir 30 September 2024 (3QFY24) susut 1.9% kepada RM121.65 juta, turun daripada RM123.95 juta setahun sebelumnya, disebabkan perbelanjaan pentadbiran dan operasi yang lebih tinggi.
Ini walaupun hasil suku tahunan meningkat 6.4% kepada RM1.14 bilion pada 3QFY24, meningkat daripada RM1.07 bilion pada 3QFY23, didorong oleh urus niaga yang lebih tinggi dan sumbangan daripada kedai baharu.
Penganalisis menjangkakan prestasi yang lebih baik pada suku berikutnya, disokong oleh perbelanjaan perayaan, kenaikan gaji untuk kakitangan awam dan ringgit Malaysia yang lebih kukuh berbanding mata wang China, yang boleh meningkatkan margin.
Majoriti penganalisis telah menetapkan penarafan "beli" pada saham, dengan 14 daripada mereka menyokong panggilan ini, manakala hanya dua yang mempunyai cadangan "pegang", menurut data Bloomberg.
Sementara itu, RHB Investment berkata, momentum pendapatan sepatutnya meningkat pada suu keempat tahun ini memandangkan musim akhir tahun yang menggalakkan tetapi firma itu memahami bahawa kos tambahan yang berkaitan dengan gudang baharu akan terus ditanggung sebelum mencapai tahap optimum menjelang suku pertama 2025.
"Melihat lebih jauh ke hadapan, gaji yang lebih tinggi dalam sektor awam dan swasta pada 2025 dijangka meningkatkan pendapatan boleh guna dan sentimen pengguna.
"Bersama-sama dengan pemberian wang tunai yang diperbesarkan untuk kumpulan berpendapatan rendah, MR DIY boleh mendapat manfaat kerana penerima langkah-langkah ini termasuk dalam kumpulan pelanggan sasarannya,” katanya.- DagangNews.com