KUALA LUMPUR 1 Sept - Media Prima Berhad kekal berhati-hati terhadap cabaran makroekonomi yang berterusan termasuk tekanan inflasi selain kenaikan kadar faedah yang akan meningkatkan risiko penurunan perbelanjaan periklanan (adex).
Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, pihak pengurusan kumpulan itu mengakui bahawa penurunan dalam adex tidak mungkin berstruktur.
Katanya, berdasarkan komunikasi dengan pengiklan, pengurusan mendapati bahawa perbelanjaan hanya ditahan sementara sehingga keadaan makroekonomi bertambah baik.
"Media Prima akan memberi keutamaan bagi menjaga kedudukan dalam pasaran penyiaran dan penerbitan.
"Selain itu, kumpulan itu juga komited terhadap pelaburan dalam perniagaan digital dan luar rumah, yang menawarkan prospek pertumbuhan yang tinggi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, kumpulan itu merekodkan hasil sebanyak RM1.4 bilion dan untung bersih sebanyak RM67.3 juta bagi tempoh 18 bulan yang dikaji, ketika persekitaran perniagaan yang mencabar dan keadaan pasaran pengiklanan yang kurang menggalakkan.
Hasil dan untung bersih Media Prima bagi suku berakhir pada 30 Jun 2023 pula adalah sebanyak RM223 juta dan RM8.1 juta.
Sementara itu, Media Prima kekal dengan panduan pelan perniagaan tiga tahunnya untuk memacu pertumbuhan mampan jangka panjang.
Memanfaatkan kekuatannya sebagai kumpulan media bersepadu, rancangan itu tertumpu pada tiga tonggak utama termasuk meningkatkan kandungan, premium inventori dan penerokaan aliran hasil baharu.
Walaupun tekanan makroekonomi dan sentimen lemah melembapkan adex, pengurusan kos efektif membantu mengekalkan keuntungan kumpulan.
"Kebanyakan segmen, termasuk penyiaran, di luar rumah, penerbitan dan media digital.
"Mereka lebih daripada mengimbangi kerugian daripada segmen beli-belah di rumah yang menghadapi persaingan daripada pilihan runcit dalam kedai serta platform e-dagang dan perdagangan sosial.
"Kami mengekalkan saranan 'jual' dengan harga 37 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com