Cahya Mata tidak mempunyai sasaran konkrit ESG jangka pertengahan, jangka panjang - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Cahya Mata tidak mempunyai sasaran konkrit ESG jangka pertengahan, jangka panjang - Maybank IB

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 12 Mei - Cahya Mata Sarawak Bhd tidak mempunyai rangka kerja dan objektif jangka pertengahan dan panjang yang konkrit dari segi alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), kata Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB).

 

Menurut penilaian ESG terbaru Maybank IB, Cahya Mata baru-baru ini mendedahkan lebih sedikit isu alam sekitar dan sosial berbanding sebelum ini.

 

"Skor keseluruhan ESG Cahya Mata, di bawah metodologi pemarkahan ESG proprietari kami, adalah 18 daripada 100, yang menjadikan penarafan ESGnya di bawah purata, pada pandangan kami.

 

"Secara positif, syarikat sedang mengusahakan Dasar Kemampanan dan Pelan Kemampanan, dan menyasarkan untuk melancarkannya pada 2023," kata firma itu dalam nota hari ini.

 

Maybank IB berkata kekurangan pendedahan mungkin sebahagiannya menyumbang kepada Cahya Mata dikecualikan daripada indeks FTSE4Good Bursa Malaysia (F4GBM) semasa semakan terkini Dis 2022. Syarikat itu dimasukkan sebagai konstituen pada Disember 2016.

 

Sementara itu, Maybank IB berkata penilaian kualitatifnya mempertimbangkan pencapaian Cahya Mata pada parameter terpilih yang berkaitan dengan tiga tonggak ESG, manakala penilaian kuantitatifnya mempertimbangkan persediaan dalaman dalam syarikat dalam memenuhi ESG, sasaran kemampanan dan aspirasinya.

 

Skor di bawah purata 18 untuk Cahya Mata adalah selaras dengan skor Sustainalytics bagi risiko ESGnya pada 37.6 yang meletakkan syarikat itu dalam kategori penarafan risiko 'Tinggi'.

 

"Sebahagian daripada sebab skor rendah dalam penilaian kami adalah disebabkan pendedahan yang lebih sedikit dalam laporan tahunan tahun kewangan 2021 (FY21) dan FY22, serta sasaran neutraliti karbonnya yang tidak mempunyai butiran dan garis masa," katanya.

 

Maybank IB telah mengekalkan syor "Beli" pada Cahya Mata, dengan harga sasaran RM1.48.

 

Ia juga menyatakan bahawa Cahya Mata terus menjadi proksi cair untuk peningkatan aktiviti pembinaan di Sarawak. - DagangNews.com