Calon PM sepatutnya dipilih oleh rakyat, bukan ketua parti | DagangNews Skip to main content

Calon PM sepatutnya dipilih oleh rakyat, bukan ketua parti

Oleh MOHD FUDZAIL MOHD NOR
Kolumnis DagangNews.com

 

 

SETELAH 17 bulan berlalu, kejatuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang menumbangkan Pakatan Harapan (PH) yang berusia 22 bulan dalam situasi yang sama. Sekali lagi bakal menyaksikan rundingan antara parti-parti politik bagi memilih perdana menteri baru sementara menanti PRU15.

 

Terasa agak lega bila Muhyiddin Yassin menegaskan dia tidak akan mengorbankan prinsipanya demi mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional. Dia tidak akan sesekali bersekongkol dengan kumpulan “kleptokrat” bagi menyelamatkan kedudukannya sebagai perdana menteri.

 

Dia boleh mengambil jalan mudah dengan mengorbankan prinsip untuk kekal sebagai perdana menteri. Tetapi itu bukan pilihan dan dia tidak akan sekali-kali bersekongkol dengan kumpulan kleptokrat, mengganggu kebebasan badan kehakiman dan membelakangi Perlembagaan Persekutuan semata-mata untuk kekal berkuasa.

 

Jawatan yang dipikulnya bukanlah suatu kemegahan, tetapi bebanan tanggungjawab yang berat apatah lagi memimpin negara dalam keadaan krisis kesihatan dengan COVID-19 dan ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini. 

 

Ramai pihak politikus menggesa semua pihak untuk bertenang dan berdoa negara kembali bangkit dan bangun segera dengan kelemahan dan kemunduran.

 

Apabila dilihat dengan pengunduran Muhyiddin, watak-watak utama yang akan menentukan kerajaan seterusnya adalah politikus yang serupa. Kebanyakannya adalah muka yang sama dengan langkah yang hampir serupa. Mereka melakukan rundingan pintu belakang selama seminggu ketika Langkah Sheraton pada Februari 2020 yang menumbangkan Pakatan Harapan.

 

Keadaan buat masa ini sama seperti yang lepas dengan tiada satu pun gabungan yang memiliki majoriti yang kuat, kukuh dan meyakinkan untuk berkuasa.

 

Keegoan akan diuji, masa depan dan rundingan politik dipertaruhkan dengan mendalam. Apabila parti-parti politik berusaha mengadakan persetujuan dan kesefahaman untuk membentuk majoriti baru buat seketika.

 

Watak-watak utama dengan wajah-wajah lama yang berada di sebalik rundingan dan bukanlah sesuatu yang baru.

 

Bagi saya yang mengharap orang baru yang lebih berkelayakan untuk mengganti orang-orang lama dalam tahun 2021. Kita dibariskan dengan kepimpinan yang lama dan usang untuk menyambung dan terus berkuasa.

 

Mungkin PRU14 dengan Tun Mahathir Mohamad masih mengharapkan orang tua sedangkan negara dalam ramai adalah orang-orang muda yang mempunyai idea dan visi untuk menggerakkan negara.

 

 

Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Mahathir Mohamad

 

 

Kita harus memandang ke hadapan dengan rasional tanpa berselindung dibalik kepuraan dengan kepimpinan yang sama. Cukup untuk dua penggal untuk menjadi ahli parlimen dan berikan peluang kepada seberapa calon yang boleh.

 

Selalunya pemilihan calon-calon parti berdasarkan persetujuan dari presiden parti untuk kawasan pilihan raya. Presiden menentukan siapa untuk berlawan dan selalunya ahli yang memegang jawatan Parti. Semakin tinggi jawatan semakin berpeluang sebab itulah calon-calon selalunya bertanding pemilihan parti.

 

Inilah kesilapan yang ketara kerana pada tahun 1980an sewaktu menuntut di New Zealand, negara itu mengamalkan proses pemilihan calon daripada ahli yang bersemuka di peringkat parti.

 

Mereka yang ingin dicalonkan oleh parti bertemu sesama sendiri ahli-ahli parti walaupun tanpa jawatan di dalam parti. Dari pertandingan dengan berjumpa ahli-ahli parti kawasan pilihan raya dan ditentukan pada masa itu.

 

Bukan pada presiden atau kepimpinan parti. Calon dipilih dengan persetujuan ahli-ahli parti untuk menghadapi pilihan raya dan bertanding secara rasmi.

 

Pengalaman Sweden

Selain itu kita lihat ahli parlimen Sweden, sebuah negara maju yang tanpa pembantu, tanpa kopi, tiada gaji tinggi. Ahli parlimen adalah pekerja biasa sebagai penjawat awam.


 

fudzail

 

 

Parlimen Sweden hanya ada 3 kereta untuk kegunaan rasmi yang dikongsi. Malah  ahli Parlimen Sweden dijangka menaiki pengangkutan awam dengan diberi tiket tahunan. Ada yang hanya berbasikal untuk ke parlimen.

 

Sehingga 1957, ahli parlimen Sweden tidak dibayar untuk kerja mereka, hanya sekarang mendapat AS$4,300 sebulan. Kurang dari gaji guru sekolah rendah dan jauh dari guru sekolah menengah.

 

Apalagi ahli parlimen Sweden tidak boleh naikkan gaji sendiri. Terpaksa melalui pelbagai birokrasi.

 

Apartmen disediakan untuk yang dari luar Stockholm. Rumah satu bilik dengan 45 sq meter tanpa bilik tidur berasingan. Apartmen tiada mesin basuh atau mesin basuh pinggan mangkuk.

 

Ahli parlimen Sweden tidak dibenarkan mengajak kawan atau famili bermalam. Kalau mahu mengajak juga mesti membayar untuk bermalam

 

Tiada pelayan di kafeteria parlimen. Setiap ahli parlimen Sweden membayar makanan sendiri dan membersihkan pinggan mangkuk. Ahli parlimen tiada setiausaha atau pembantu.

 

Setiap parti mendapat elaun untuk setiausaha tetapi tidak boleh digaji secara perseorangan oleh ahli parlimen. Ahli parlimen merancang jadual sendiri dan menjawab telefon sendiri. Ada akhbar dan majalah percuma dalam bangunan parlimen yang dikongsi oleh setiap ahli parlimen. Parlimen mempunyai langganan dengan media utama.

 

Apabila melancong ahli parlimen sepatutnya memilih yang paling murah dipasaran. Sekiranya menyewa kereta mesti memilih laluan sesingkat mungkin. Setiap perjalanan ke luar negara dengan maksimum AS$5,400.

 

Tiada imbuhan persaraan sehingga akhir hayat untuk mantan ahli parlimen. Selepas dua tahun persaraan ahli parlimen menerima 85% daripada gaji.

 

Namun begitu ahli parlimen mesti mendapatkan bukti yang mereka masih mencari kerja baru. Ahli politik daerah tidak mendapat gaji dengan kerja politik dianggap untuk kebaikan awam. Dengan itu tidak dibayar gaji.

 

Perkhidmatan awam di Sweden tidak berprestij dan tidak menguntungkan. Itulah beza antara negara yang maju dengan kita di Malaysia di mana ahli parlimen  apalagi Menteri dan timbalan menteri mendapat kemudahan dengan gaji yang tinggi. Mendapat pelbagai kemudahan dan dipanggil ‘Yang Berhormat’ dengan pembantu-pembantu.

 

Sebenarnya wakil rakyat adalah pekerja rakyat yang harus memahami bahawa tanpa rakyat tidak mungkin mereka ke parlimen dengan gaji besar dan peluang yang banyak.

 

Sebab itu calon perlu dipilih oleh masyarakat dan ahli parti sebelum bertanding pilihan raya mewakili parti, bukan oleh presiden parti yang mungkin hanya mencari yang sehaluan dengannya, tetapi bukan dari segi kebolehan!   - DagangNews.com