CEO Mah Sing dilantik sebagai Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Selangor | DagangNews Skip to main content

CEO Mah Sing dilantik sebagai Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Selangor

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 26 Ogos – Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mah Sing Berhad (Mah Sing), Datuk Ho Hon Sang telah dilantik sebagai Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) Selangor berkuatkuasa 25 Ogos 2020.

Beliau menggantikan Zulkifly Garib dan akan berkhidmat sebagai pengerusi persatuan berkenaan bagi tempoh dua tahun.

Hon Sang yang sebelum ini merupakan Timbalan Pengerusi REHDA mempunyai hampir empat dekad pengalaman dalam industri pembangunan hartanah dan bidang berkaitan termasuk kejuruteraan, perundingan, penswastaan jalan dan pengurusan umum.

Hon Sang berkata, berdasarkan kepakaran yang ada, REHDA Selangor akan bekerja rapat dengan pihak kerajaan dan pemaju untuk menambahbaik landskap industri hartanah Malaysia.

“Saya berbesar hati apabila dilantik sebagai Pengerusi REHDA Selangor, selepas menjawat sebagai Timbalan Pengerusi sebelum ini.

“Saya berterima kasih atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan untuk menggalas tanggungjawab ini,“ kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Hon Sang merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) dari Universiti Malaya (UM) dan merupakan ahli Institut Kejuruteraan Malaysia (IEM).

Beliau memulakan kariernya sebagai jurutera yang terlibat dalam pembangunan di Lebuhraya Utara-Selatan.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Urusan Pembangunan Hartanah Sunway Berhad.

Sepanjang tempoh perkhidmatannya, Hon Sang terlibat dalam pelbagai projek pembangunan dan pelaburan hartanah termasuk perancangan bandar. – DagangNews.com