CGS-CIMB : Pelabur, tunggu MAHB kembali untung  | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB : Pelabur, tunggu MAHB kembali untung 

PENGANALISIS kekalkan saranan 'tambah' dan 'beli' saham MAHB - Gambar oleh Sangga Rima Roman Selia

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Firma penyelidikan, CGS-CIMB Research menyarankan para pelabur untuk menunggu sekatan perjalanan dilonggarkan menjelang penghujung tahun 2021 serta keuntungan asas yang lebih kukuh untuk Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) pada masa akan datang.

 

Penganalisisnya, Raymond Yap menyifatkan, “perkara baik hadir kepada mereka yang menunggu” untuk mencerminkan situasi mencabar yang dihadapi oleh MAHB ketika krisis pandemik ini bakal mereda dan dijangka mencatatkan keuntungan pada sekitar tahun kewangan 2023 (FY23).

 

Katanya, prestasi suku kedua FY21 (2QFY21) MAHB pada awalnya kelihatan lemah, namun berdasarkan analisis mendalam, keputusan itu menonjolkan data yang lebih baik. 

 

Beliau memberi contoh kerugian bersih yang dicatatkan oleh Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen di Istanbul (ISG) yang menguncup kepada €10.8 juta daripada €16 juta pada suku tahun sebelumnya, dipacu oleh peningkatan 11% dalam jumlah trafik. 

 

“Ini menunjukkan keadaan trafik boleh bertambah baik dengan sangat cepat, dan situasi di Malaysia mungkin menunjukkan senario sama pada masa hadapan,” katanya dalam satu nota kajian.

 

Baca : Kerugian MAHB melebar kepada RM226 juta pada Q2

 

CGS-CIMB mengekalkan saranan ‘tambah’ ke atas saham MAHB dengan harga sasaran (TP) ditingkatkan kepada RM6.96.

 

Bagi Yap, peningkatan dari segi TP itu berpatutan memandangkan MAHB bakal mencatatkan kemuncak pemulihan sehingga mampu meraih keuntungan pada FY23. 

 

Dalam pada itu, MAHB sebelum ini optimis sekiranya kadar trafik sepenuhnya pulih, kumpulan menyasarkan keuntungan mutlak dan margin keuntungan yang lebih tinggi seiring perancangannya untuk mengekalkan langkah penjimatan kos. 

 

Dengan keberuntungan yang berpotensi tinggi dan asas ekuiti lebih rendah apabila kembali pulih sepenuhnya, pulangan ekuiti (ROE) mungkin menjadi lebih tinggi pasca pandemik COVID-19, kata Yap lanjut.

 

Senada penarafan CGS-CIMB, MIDF Research mengekalkan saranan ‘beli’ saham MAHB dengan TP tidak berubah pada kadar RM6.70 sesaham.

 

Walaupun MAHB mencatatkan kerugian utama lebih rendah daripada ramalan pada separuh pertama FY21 (1HFY21), namun firma itu tidak membuat sebarang perubahan kepada unjurannya. 

 

“Kami berpendapat MAHB dapat menurunkan kerugiannya dengan ketara pada 2HFY21 berdasarkan pemulihan pertumbuhan yang meyakinkan di operasi Turki. 

 

“Dalam pada itu, kami juga berpendapat bahawa operasi di Malaysia akan meningkat semula pada 4QFY21 apabila sekatan pergerakan secara perlahan-lahan dilonggarkan untuk individu yang divaksin (55.6% daripada populasi dewasa setakat 23 Ogos 2021),” jelas MIDF. - DagangNews.com