CGS-CIMB Research neutral terhadap cadangan Sime Darby ambil alih Cavpower berharga RM1.5 bilion | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB Research neutral terhadap cadangan Sime Darby ambil alih Cavpower berharga RM1.5 bilion

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Ogos - CGS-CIMB Research neutral terhadap cadangan Sime Darby Berhad untuk mengambil alih Cavpower Group yang merupakan pengedar peralatan Caterpillar Inc di Australia menerusi perjanjian tunai berharga RM1.5 bilion.

 

Firma penyelidikan itu berkata, ia adalah berdasarkan penilaian yang kritikal terhadap Cavpower.

 

“Berdasarkan analisis sensitiviti kami, keuntungan Sime Darby akan terkesann untuk jangka pendek.

 

"Bagaimanapun kumpulan itu yakin terhadap potensi pertumbuhan pendapatan Cavpower bermula FY23 dan percaya kenaikan hagra komoditi akan membawa kepada permintaan lebih tinggi untuk produk serta perkhidmatan jenama itu di Australia Selatan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

CGS-CIMB Research berkata, ia adalah pengambilalihan ketiga Sime Darby di Australia sejak 2021, mengukuhkan lagi kehadiran bahagian perindustrian syarikat di Australasia.

 

Kehadiran itu menyumbang 60% daripada jumlah keuntungan teras syarikat sebelum faedah dan cukai (PBIT) dalam tempoh sembilan bulan tahun kewangan 2023 (9MFY23).

 

Cavpower ialah pengedar Caterpillar di Australia Selatan dan Broken Hill dengan portfolio pelanggan perlombongan yang memfokuskan pada sektor tembaga, litium dan kobalt dan saiz pasaran kira-kira 10% daripada hasil segmen perindustrian SDB di Australia.

 

Firma penyelidikan itu percaya pemerolehan itu akan membantu Sime Darby mengembangkan kehadirannya di Australia dan mempelbagaikan pendedahan komoditinya selain daripada arang batu.

 

“Sime Darby menjangkakan perjanjian itu akan sempurna pada suku keempat tahun ini.

 

"Dengan mengandaikan pengambilalihan itu dibiayai dengan hutang 90%, penggearan bersih Sime Darby meningkat daripada 0.23 kali pada akhir Mac 2023 kepada kira-kira 0.33 kali dan tidak seharusnya menjejaskan keupayaannya untuk membayar dividen," katanya.

 

CGS-CIMB Research mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM2.18 sesaham. - DagangNews.com