CGS-CIMB Research unjur Genting Malaysia catat CAGR sebanyak 48% bermula FY23 hingga FY25 | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB Research unjur Genting Malaysia catat CAGR sebanyak 48% bermula FY23 hingga FY25

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Ogos - CGS-CIMB Research mengunjurkan Genting Malaysia Berhad mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 48% bermula FY23 hingga FY25.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan, ia akan dipacu oleh pertumbuhan hasil Resorts World Genting (RWG) Malaysia sebanyak 30%/16%/5% pada FY23/FY24/FY25 dan mengunjurkan hasil itu mengatasi hasil FY19 menjelang FY24.

 

"Unjuran kami mengandaikan pemulihan ketibaan pelancong akan memacu jumlah perniagaan dan meningkatkan margin pendapatan sebelum faedah dan cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) Genting Malaysia kepada 31% menjelang FY25 memandangkan kos operasinya yang tinggi.

 

"Ketibaan pelancong asing dijangka bertambah baik seiring dengan pemulihan dalam kapasiti tempat duduk syarikat penerbangan antarabangsa," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, semakan terhadap pengunjung RWG baru-baru ini mendapati kehadiran pelawat asing mula mencatatkan peningkatan secara beransur-ansur dengan kadar penghunian hotelnya melebihi 90% dan persembahan secara langsung kembali bersambung.

 

"Kami juga percaya taman tema SkyWorlds baharunya akan terus menjadi tarikan orang ramai," katanya.

 

CGS-CIMB Research mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran (TP) RM4.00 sesaham.

 

Pada masa sama, mereka menjangkakan kumpulan itu akan berdepan beberapa cabaran termasuk kos operasi yang lebih tinggi daripada jangkaan dan pemulihan hasil permainan Malaysia yang lebih perlahan. - DagangNews.com