CGS-CIMB saran ‘pegang’ saham Pharmaniaga | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB saran ‘pegang’ saham Pharmaniaga

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 21 Ogos - CGS-CIMB Research mengekalkan saranan ‘pegang’ saham Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) susulan perolehan sesaham (EPS) syarikat dijangka melonjak sebanyak 16.4% hingga 30% bagi tahun kewangan 2020-2022.

Ini adalah berdasarkan prestasi baik dalam segmen logistik Pharmaniaga sekali gus sasaran harga saham meningkat kepada RM4.10.

“Pharmaniaga menerima manfaat daripada peruntukan penjagaan kesihatan yang lebih tinggi oleh pihak kerajaan, sekali gus menyumbang pertumbuhan segmen pembuatan kumpulan syarikat tersebut. 

“Kami berpendapat lonjakan harga saham Pharmaniaga iaitu +114% setakat ini menunjukkan harga yang cukup positif, ditambah usaha pengisisan dan penyempurnaan vaksin COVID-19 oleh syarikat,” kata laporan analisis CGS-CIMB hari ini. 

Selain Pharmaniaga, Duopharma Biotech Berhad (Duopharma) telah dilantik oleh kerajaan untuk mengisi dan membotolkan vaksin COVID-19.

Baca : Vaksin ‘percubaan’ COVID-19 dijangka siap 6 bulan lagi?

Bagaimanapun, prestasi saham Pharmaniaga mungkin merudum sekiranya perolehan segmen pembuatan dan margin perniagaan konsesi lebih rendah daripada jangkaan.

Sebelum ini, keuntungan bersih syarikat pada separuh pertama tahun 2020 mencatatkan sebanyak RM33.1 juta di mana angka berkenaan melebihi ramalan oleh CGS-CIMB sebanyak 67%.

Prestasi itu didorong oleh margin yang lebih baik dalam segmen logistik dan pengedaran (L&D) syarikat kerana kos operasi yang lebih rendah.

Pharmaniaga turut mengumumkan pembayaran dividen sebanyak 2.5 sen sesaham.

“Segmen logistik syarikat menunjukkan pertumbuhan hasil sebanyak 6.3% pada separuh tahun pertama 2020 yang terutamanya didorong oleh perniagaan bukan konsesi.

“Ini adalah berikutan COVID-19 telah membantu melonjakkan jualan alat perlindungan diri (PPE) dan produk sampingan kepada hospital kerajaan,” tambah CGS-CIMB. - DagangNews.com