CGS-CIMB senarai 3 saham ‘pemenang’ penemuan vaksin COVID-19 | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB senarai 3 saham ‘pemenang’ penemuan vaksin COVID-19

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Nov. - Tiga saham syarikat yang tersenarai dalam Bursa Malaysia bakal menerima manfaat besar atau berpotensi sebagai ‘pemenang’ apabila vaksin COVID-19 berjaya ditemukan kelak, kata CGS-CIMB Research.  

 

Tiga saham berkenaan adalah Public Bank Berhad, Kumpulan Genting (Genting) dan Malaysia Airports Berhad (MAB).

 

Jelas firma penyelidik itu, penemuan vaksin COVID-19 memberikan petunjuk bahawa penularan pandemik berkenaan akan berakhir sekali gus mendorong pelabur untuk beralih daripada saham benefisiari seperti sektor sarung tangan getah dan teknologi kepada saham pemulihan. 

 

Ini termasuk bank, syarikat penerbangan, lapangan terbang, peruncit, perjudian dan media memandangkan saham mereka terjejas teruk akibat sekatan pergerakan. 

 

“Dalam strategi separuh tahun kedua 2020 (2H20) CGS-CIMB, kami membangkitkan tema pemulihan COVID-19 dan menasihatkan para pelabur untuk mula mengumpul saham daripada sektor-sektor ini berdasarkan nilai yang menarik dan jangkaan pemulihan perolehan pasca pandemik menjelang tahun 2021.

 

“Kami telah mengenal pasti bahawa sektor perjudian (kasino dan pengendali nombor ramalan), syarikat penerbangan, lapangan terbang, amanah pelaburan hartanah (REIT), media, bank, hospital, pembuat bir, tembakau serta minyak dan gas antara yang berpotensi melonjak semula setelah kes COVID-19 berkurangan di seluruh dunia atau vaksin dibangunkan, menyumbang kepada pembukaan semula sempadan antarabangsa,” kata CGS-CIMB dalam nota kajiannya. 

 

Sebelum ini, syarikat pembangun vaksin COVID-19, Pfizer Inc dan BioNTech mendedahkan bawah analisis percubaan ke atas 94 individu daripada 43,538 orang berkesan mencegah pandemik itu sehingga 90%.

 

Walaupun itu merupakan satu perkembangan positif, namun beberapa persoalan dan kebimbangan kekal wujud termasuk sama ada vaksin itu mampu mencegah penyakit atau komplikasi teruk dan sejauh mana ia dapat mencegah daripada jangkitan serta berkesan ke atas orang tua. 

 

Berdasarkan ramalan dibuat ketika ini, kedua-dua syarikat itu dapat menghasilkan sehingga 50 juta dos vaksin di seluruh dunia pada tahun ini dan meningkat kepada 1.3 bilion dos menjelang 2021. 

 

Tambah CGS-CIMB, antara syarikat yang menerima saranan ‘tambah’ saham mereka adalah Genting, Genting Malaysia Berhad, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), IGB-REIT, IHH dan KPJ Healthcare.

 

Bagi pendedahan kepada pemulihan ekonomi selepas COVID-19, CGS-CIMB mencadangkan sektor perbankan di mana penarafan mereka baru-baru ini ditingkatkan kepada ‘overweight’. 

 

Pilihan teratas CGS-CIMB dalam sektor perbankan adalah Public Bank, Hong Leong Bank, RHB Bank dan Ambank.

 

“Sektor media pula dijangka menyaksikan pemulihan dalam hasil perbelanjaan pengiklanan (adex) dan kami meletakkan saranan ‘tambah’ di mana Astro merupakan pilihan utama. 

 

“Sektor minyak dan gas mungkin menerima manfaat sekiranya harga minyak mentah pulih semula didorong permintaan minyak lebih tinggi dan pilihan teratas kami adalah Yinson serta Dialog,” tambah CGS-CIMB. 

 

Dalam pada itu, CGS-CIMB berpendapat kestabilan dalam peningkatan saham Malaysia ditentukan oleh perkembangan vaksin COVID-19 serta ketersediaannya di Malaysia. 

 

Ini terbukti apabila KLCI meningkat sehingga 50.75 mata semalam, ditutup pada paras 1,575 didorong perkembangan itu, kata CGS-CIMB. - DagangNews.com