KUALA LUMPUR 17 Jan - CGS-CIMB Research unjur HPP Holdings Berhad mencatatkan hasil yang lebih kukuh pada separuh kedua FY23 (2HFY23) didorong beberapa faktor termasuk peningkatan jualan selain peningkatan kecekapan operasi serta kawalan kos yang lebih baik.
Firma itu berkata, ia juga didorong kadar penggunaan yang lebih tinggi atas peningkatan permintaan jualan serta faktor bermusim seperti jualan perayaan akhir tahun, Krismas dan Tahun Baharu.
"Kami mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran (TP) 55 sen sesaham.
"Kami menyukai kumpulan itu berdasarkan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) serta pendapatan sesaham (EPS) tiga tahun yang kukuh selain hasil dividen yang baik sebanyak 3.5% (FY23-25)." katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, keuntungan bersih teras (CNP) 2QFY5/23 adalah RM2.5 juta menjadikan CNP 1HFY23 kepada RM6.5 juta.
Pendapatan itu berada dalam unjuran kami dan anggaran konsensus Bloomberg tahun penuh FY5/23F pada 47.7%.
Firma itu berkata, hasil 1HFY23 kumpulan itu meningkat 3.4% didorong oleh jualan daripada segmen pembungkusan (57.7% daripada hasil 1HFY23), yang meningkat kepada RM26.2 juta (55.4% yoy), menunjukkan aliran pesanan yang berterusan daripada sektor kontraseptif.
Katanya, jualan segmen pembungkusan mengikut peratusan daripada jumlah hasil mencapai tahap tertinggi sejak 1QFY21 (33.9%) sebanyak 61.2% pada 2QFY23.
"Margin 1HFY23 (tidak termasuk pembayaran berasaskan saham) meningkat kepada 28.3% (+0.8% mata tahun ke tahun).
"Pada asas suku ke suku, hasil 2QFY23 dan CNP masing-masing merosot 11.6% dan 37.8%, berikutan campuran jualan yang tidak memberangsangkan kerana jualan daripada segmen pembungkusan margin yang lebih tinggi turun 44.4% kepada RM3.7 juta, sebahagiannya disebabkan oleh faktor bermusim," katanya. - DagangNews.com