CIMB Group terus perkukuh jenama dalam dunia sukan menerusi penajaan atlet golf, Ervin Chang | DagangNews Skip to main content

CIMB Group terus perkukuh jenama dalam dunia sukan menerusi penajaan atlet golf, Ervin Chang

Effendy Shahul Hamid (kanan) menyampaikan penajaan kepada Ervin Chang (kiri) sambil disaksikan Hannah Yeoh (dua dari kiri) dan Pengerusi CIMB, Datuk Mohd. Nasir Ahmad (dua dari kanan) di Kuala Lumpur, 12 Februari 2024.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Feb - CIMB Group Holdings Bhd terus mengukuhkan jenamanya di dalam dunia sukan tanah air dengan memberikan penajaan kepada atlet golf profesional, Ervin Chang, hari ini.

 

Penajaan itu menyaksikan, pemain berusia 25 tahun itu akan menjadi duta sukan CIMB sebaris dengan Datuk Azizulhasni Awang dan Datuk Nicol David.

 

Antara kejayaan anak kelahiran Seri Kembangan, Selangor itu ialah merangkul dua pingat emas di temasya Sukan SEA Hanoi 2021 sebelum mengambil keputusan menjadi pemain profesional setahun kemudian dan kini akan beraksi di bawah naungan Jelajah Asia bagi musim 2024.

 

Beliau juga akan beraksi di Kejohanan Golf Terbuka Malaysia yang akan bermula Khamis ini di The Mines Resort & Golf Club

 

Ketua Pegawai Eksekutif, Pengguna Kumpulan dan Perbankan Digital, CIMB Group berkata, Effendy Shahul Hamid berkata, Ervin adalah juara dan pihaknya berbesar hati kerana diberi peluang bekerjasama dengannya bagi membawa Malaysia peringkat lebih tinggi dalam sukan golf.

 

Ervin
Ervin Chang

 

Beliau berkata, Ervin juga adalah antara antara penerima manfaat daripada program pembangunan sukan CIMB Group.

 

"Kami gembira kerana dapat memainkan peranan dalam pembangunan Ervin setakat ini, dan kami berharap dapat bekerjasama dengannya sambil dia membawa kerjayanya ke peringkat seterusnya.

 

"Penajaan yang diberikan ini adalah campuran dari segi barangan dan wang tunai, penajaan ini adalah bagi membolehkan Ervin beraksi dengan lebih baik pada kejohanan-kejohanan yang akan disertainya selepas ini," katanya dalam majlis penyerahan tajaan di Ibu Pejabat CIMB, hari ini.

 

Majlis itu turut disaksikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh. 


 

ervin

 

cimb

 



Sementara itu Ervin berkata, kerjasama itu menggambarkan komitmen CIMB dalam membantu mengekalkan persekitaran yang menggalakkan bagi memupuk bakat muda dalam sukan tanah air.

 

Beliau mengakui sangat gembira kerana diberikan peluang seperti itu dan ia memberi perangsang kepadanya untuk terus cemerlang dalam sukan golf profesional.

 

"Saya harap dapat membanggakan negara dan menjadi pembawa bendera Malaysia dalam kejohanan golf antarabangsa," katanya.

 

Ervin merupakan antara perintis Program Pembangunan Golf Junior CIMB pada 2010. Perkongsian itu meraikan kemajuan yang telah dicapainya selain meluaskan capaian jenama CIMB yang memperjuangkan sukan Malaysia. - DagangNews.com