CIMB kekal berdaya tahan di sebalik krisis COVID-19 | DagangNews Skip to main content

CIMB kekal berdaya tahan di sebalik krisis COVID-19

Pengerusi CIMB Group, Datuk Mohd Nasir Ahmad (kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Group, Datuk Abdul Rahman Ahmad selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-64 dengan pemegang saham diikuti Mesyuarat Agung Luar Biasa hari ini.

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 15 April - CIMB Group kekal berdaya tahan di sebalik pandemik COVID-19 ketika mengharungi tahun kewangan 2020 dengan melaksanakan beberapa langkah yang berkesan sekali gus membolehkan kumpulan merekodkan prestasi yang lebih baik.

 

Ini berikutan pelaksanaan pengurangan kos yang agresif telah melebihi sasaran dengan 5.5% atau RM524 juta perbelanjaan operasi dikurangkan membawa kepada nisbah kos kepada pendapatan yang lebih baik, iaitu 52.2%, menurun 1.2% tahun ke tahun.  

 

Pengerusi CIMB Group, Datuk Mohd Nasir Ahmad berkata, disokong oleh kerangka kerja institusi yang kukuh, kumpulan kekal berdaya tahan dari segi kedudukan modal dan nisbah kecairan yang baik meskipun terdapat ganguan akibat pandemik COVID-19.

 

Katanya, dengan dipacu oleh strategi dikenali sebagai Forward23+, kumpulan kini memberi fokus untuk mempercepatkan pertumbuhan sejajar dengan pemulihan ekonomi. 

 

"Kumpulan akan terus menyediakan garis panduan dan memantau keperluan strategik kumpulan bagi memastikan pulangan kewangan yang stabil dan mewujudkan nilai yang konsisten kepada semua pihak berkepentingan," katanya dalam kenyataan.

 

CIMB Group hari ini mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-64 dengan pemegang saham diikuti Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Group, Datuk Abdul Rahman Ahmad.

 

Pada AGM itu, sebanyak 11 resolusi dibentangkan dan diluluskan termasuk penyata kewangan diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020. 

 

Dalam masa sama, 2 resolusi berhubung cadangan kumpulan untuk mengembangkan pelan insentif jangka panjang (LTIP) juga diluluskan ketika EGM. 

 

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, kumpulan perbankan itu kini membina momentum bagi tahun kewangan 2021 memandangkan ia merupakan tahun penuh yang pertama bagi Pelan Strategik Forward23+. 

 

Katanya, kumpulan akan terus memacu program teras strategik termasuk antara lain pengoptimuman kos, pengurusan kos dan inisiatif pembentukan semula portfolio. 

 

"Kami juga melaksanakan fokus pelaburan dalam segmen utama yang menawarkan peluang pertumbuhan keuntungan yang kukuh seperti pengurusan kekayaan, perbendaharaan dan pasaran, transaksi perbankan dan perbankan antara ASEAN. 

 

"Sehubungan itu, kami telah pun membuat laluan itu dan yakin kami berada dalam landasan ke arah mencapai aspirasi menjadi bank ASEAN yang berfokus," katanya. 

 

Bagi tahun ini, menurutnya, kumpulan menjangkakan ia akan mencatatkan prestasi yang lebih baik merentasi kebanyakan segmen dan pasaran dipacu pemulihan ekonomi yang didorong oleh vaksin COVID-19.

 

Bagaimanapun, katanya, laluan pemulihan ini masih lagi tidak menentu dan kumpulan akan terus memantau segala kualiti aset dan mengekalkan tindakan berhemah bagi mencapai keseimbangan antara pertumbuhan dan keuntungan.

 

"Dalam hal ini, digitalisasi antara bank dan pelanggan akan menjadi keutamaan dan kami akan terus melabur dan meningkatkan platform teknologi dan digital supaya produktiviti dan pengalaman pengguna dapat ditingkatkan," katanya. - DagangNews.com