Citadel, Gambit Group meterai kerjasama pengurusan aset, tawar penyelesaian inovatif | DagangNews Skip to main content

Citadel, Gambit Group meterai kerjasama pengurusan aset, tawar penyelesaian inovatif

Dari kiri: Pengarah Pembangunan Perniagaan Kumpulan Gambit, Marcus Tan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Gambit Datuk Clifford Hii, Ketua Pegawai Eksekutif, Pemegang Amanah Citadel, Mohammad Amir Mokhtar Pengarah Kumpulan Citadel, Fred Chan
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 Julai - Citadel Group menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Gambit Group bagi menjalin kerjasama dalam memberi penyelesaian inovatif kepada pelanggan dan rakan kongsi mereka.

 

Kerjasama itu merupakan langkah penting dalam merapatkan jurang antara kewangan tradisional dan digital. 

 

Pengintegrasian Citadel Group sebagai pakar dalam perkhidmatan amanah mata wang fiat dan Gambit Group yang khusus dalam penyelesaian amanah mata wang digital dapat memberi perkhidmatan pengurusan aset tradisional dan digital. 

 

Sementara itu, anak syarikat Gambit Group, Gambit Custody memperoleh lesen daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dengan tumpuan khas menjaga aset digital seperti mata wang kripto, bitcoin dan ethereum.


Citadel Group yang ditubuhkan pada 2019 itu membina reputasi kukuh dalam menawarkan produk dan perkhidmatan kekayaan yang patuh syariah.

 

Mengikut butiran MoU tersebut, pelanggan Citadel Group berpeluang untuk melantik pegawai daripada Gambit Custody untuk keperluan penjagaan aset digital. 

 

Pelanggan Gambit Reserve Bhd pula akan mendapat manfaat daripada kepakaran Citadel Group dalam mengendalikan perkhidmatan amanah mata wang fiat untuk saham keutamaan boleh tebus (RPS).

 

Citadel berkata, perkongsian ini bertujuan menyediakan penyelesaian pengurusan kekayaan yang komprehensif, merangkumi aset tradisional dan digital.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Gambit Group, Datuk Clifford Hii menyatakan bahawa kerjasama itu akan memberikan peluang unik untuk memenuhi keperluan pelanggan Gambit Group yang semakin berkembang dalam landskap kewangan yang berubah dengan pantas. 

 

“Bersama-sama, kami berada dalam kedudukan yang baik untuk menyediakan penyelesaian bersepadu yang lancar yang memacu kejayaan kewangan yang berterusan,” ujarnya.- DagangNews.com