Citaglobal raih kontrak kerja RM261 juta untuk KVDT 2, buku pesanan meningkat kepada RM1 bilion | DagangNews Skip to main content

Citaglobal raih kontrak kerja RM261 juta untuk KVDT 2, buku pesanan meningkat kepada RM1 bilion

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 9 Mei – Citaglobal Bhd (dahulunya dikenali sebagai WZ Satu Bhd) melalui anak syarikat milik penuhnya Citaglobal Engineering Services Sdn Bhd, telah menerima Surat Anugerah bagi kerja-kerja projek Landasan Berkembar Elektrik Lembah Klang Fasa 2 (KVDT 2) berjumlah RM261 juta, daripada Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn Bhd (DMIA).

 

Bagi kontrak itu, skop kerja Citaglobal termasuk pembekalan, penghantaran, pembinaan, penyiapan berjaya dan penyelenggaraan jambatan, pembetung, saliran dan kerja pagar yang merupakan sebahagian daripada projek KVDT 2.

 

Kontrak ini akan bermula pada 1 Jun 2023 dan akan disiapkan dalam tempoh 36 bulan dari tarikh permulaan.

 

Oleh itu, buku pesanan sedia ada Citaglobal meningkat kepada kira-kira RM1 bilion. Anugerah ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan, pendapatan sesaham dan aset bersih kumpulan dalam tempoh kontrak.

 

Pengerusi Eksekutif & Presiden Citaglobal dan pemegang saham utama, Tan Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria berkata, pihaknya amat bersyukur kerana memenangi kontrak ini dan memainkan peranan dalam pembinaan KVDT 2.


 

Tan Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria
         Tan Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria

 


"Kami akan turun padang dan berusaha untuk menyiapkan projek itu dalam tempoh masa yang ditetapkan. Kontrak ini juga menandakan buku pesanan Citaglobal menghampiri paras RM1 bilion, yang mengukuhkan lagi keterlihatan pendapatan syarikat,” kata beliau dalam kenyataan di sini.

 

Projek Landasan Berkembar Elektrik Lembah Klang Fasa 2 ialah usaha pemulihan rel yang meliputi 265km rangkaian landasan berkembar elektrik di Lembah Klang, Malaysia.

 

KVDT 2 meliputi laluan dari Salak Selatan ke Seremban, dan dari Simpang Port Klang ke Pelabuhan Klang.

 

DMIA ialah kontraktor utama KVDT dan kini menjalankan projek KVDT 2 dengan usaha sama Dhaya Maju LTAT Sdn Bhd. - DagangNews.com