KUALA LUMPUR 9 Mei – City University of Hong Kong melancarkan Pertandingan Syarikat Pemula HK Tech 300 yang pertama di Asia Tenggara (HK Tech 300 SEA Competition) di sini, sekali gus memperluas program inovasi dan keusahawanan yang dinanti-nantikan ke Asia Tenggara bagi menggalakkan pembangunan syarikat pemula , inovasi dan teknologi dalam rantau ini.
Sebuah program inovasi dan keusahawanan berskala besar oleh City University of Hong Kong, HK Tech 300 dilancarkan pada tahun 2021 dengan komitmen keseluruhan mencecah sehingga HK$600 juta (kira-kira RM340 juta).
Presiden dan Profesor Terkemuka Universiti, City University of Hong Kong, Prof. Way Kuo berkata, pertandingan ini membuka peluang kepada para usahawan yang bercita-cita tinggi di rantau ini untuk mendapatkan pendedahan dan pendanaan untuk projek mereka, selain membantu menterjemahkan penyelidikan cemerlang City University of Hong Kong yang bakal memberi impak transformatif kepada landskap keusahawanan di sini.
"Kami teruja melihat impak positif HK Tech 300 kepada rantau Asia Tenggara dan komited menyokong serta memperkasakan idea-idea inovatif dalam rantau ini,” kata beliau dalam kenyataan di sini.
Pertandingan HK Tech 300 SEA dianjurkan dengan kerjasama bersama pelbagai universiti dan inkubator rantau ini, termasuk Universiti Malaya (UM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM), dari Malaysia.
Selain itu, Universiti Brunei Darussalam (UBD), dari Brunei Darussalam, Chulalongkorn University, dari Thailand, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC), dan dewan-dewan perniagaan.
Menerusi rakan kongsi ini, acara ini akan menarik syarikat pemula yang berpotensi. Sebanyak 10 pemenang utama akan pelaburan Angel Fund dengan jumlah sehingga HK$1 juta (kira-kira MYR 565,000), sekali gus menyuntik usaha keusahawanan mereka.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, PKS dan ekosistem syarikat pemula yang berkembang maju adalah penting untuk pembangunan digital yang mampan.
Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia mengalu-alukan keputusan City University of Hong Kong untuk melancarkan edisi serantau HK Tech 300 di Malaysia kerana langkah tersebut membuktikan kejayaan pelbagai usaha Malaysia untuk memacu ekonomi digital dan melahirkan graduan berpengetahuan yang mempunyai kebolehpasaran yang membanggakan.
"Saya yakin bahawa pendedahan dan panduan yang bakal diterima oleh pelajar daripada pertandingan ini akan membolehkan mereka memberikan sumbangan kepada perkembangan ekosistem digital yang sedang digalakkan,” kata beliau.
Prof Emeritus Dato' Dr. Morshidi Sirat, Penasihat Pendidikan Tinggi kepada Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, yang mewakili Datuk Seri Khaled, menyampaikan ucapan beliau sempena majlis pelancaran di Hilton Kuala Lumpur pada 8 Mei 2023.
Sejak dilancarkan pada Mac 2021, program HK Tech 300 telah mencatatkan kemajuan yang memberangsangkan ke arah mencapai matlamatnya untuk mewujudkan 300 syarikat pemula dalam tempoh tiga tahun.
Dengan komitmen keseluruhan mencecah HK$500 juta (kira-kira RM280 juta) pada 2021, program ini merupakan langkah yang strategik untuk menterjemahkan hasil penyelidikan cemerlang dan harta intelek City University of Hong Kong menjadi aplikasi praktikal, dan pada masa yang sama memberikan peluang yang berharga kepada bakat muda dan usahawan yang bercita-cita tinggi untuk belajar dan berkembang.
Untuk meningkatkan lagi sokongan kepada program, Universiti telah memberikan dana tambahan sebanyak HK$100 juta (kira-kira RM56.5 juta) pada tahun ini.
Sehingga kini, HK Tech 300 telah membentuk lebih 560 syarikat pemula (start-up), setiap satunya menerima HK$100,000 (kira-kira RM56,500) Dana Awal (Seed Fund), dan HK Tech 300 telah memberikan sehingga HK$1 juta (kira-kira RM565,000) dalam bentuk pelaburan Angel Fund kepada lebih 110 syarikat pemula.
Berdasarkan kejayaan dan impak program yang positif, City University of Hong Kong telah memperluaskan HK Tech 300 ke Asia Tenggara, dengan Malaysia dipilih sebagai lokasi pelancaran Pertandingan HK Tech 300 SEA yang pertama, sekali gus membuktikan visi dan matlamat City University of Hong Kong untuk menjadikan HK Tech 300 program inovasi dan keusahawanan yang terbesar di Asia.
Pengembangan ini bertujuan menggalakkan pemindahan teknologi dan pengkomersialan di rantau ini, sekali gus menunjukkan komitmen City University of Hong Kong untuk menyokong syarikat permulaan Asia Tenggara dalam mengembangkan perniagaan mereka ke Hong Kong, tanah besar China dan ke seluruh rantau, dengan memanfaatkan kelebihan tersendiri dan sumber yang terdapat di Hong Kong. - DagangNews.com