Coraza mahu rebut peluang luas dalam industri semikonduktor | DagangNews Skip to main content

Coraza mahu rebut peluang luas dalam industri semikonduktor

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 20 Jan - Penyedia perkhidmatan sokongan kejuruteraan bersepadu, Coraza Integrated Technology Bhd. akan merebut peluang daripada peningkatan permintaan dalam industri semikonduktor di sebalik ketidaktentuan akibat pandemik COVID-19.

 

Pengarah Urusannya, Lim Teik Hoe percaya pandemik itu akan membawa impak positif terhadap industri semikonduktor dalam tempoh jangka panjang, dengan ramai bergerak ke arah pendigitalan dan penggunaan teknologi baharu.

 

Katanya, sebagai tulang belakang kepada semua produk elektronik, semikonduktor akan menjadi antara sektor paling penting, dengan teknologi dijangka memainkan peranan lebih besar berbanding sebelum ini. 

 

"Pada masa ini, industri mengalami peningkatan yang tidak pernah dicatat selama ini. 

 

"Malah, dalam tempoh 2 tahun ini, Coraza telah menyaksikan pertambahan pertanyaan dan tempahan daripada pelanggan sedia ada dan juga yang berpotensi, khususnya  semikonduktor, dari dalam negara dan juga ibu pejabat global syarikat," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Secara dasarnya, Coraza terlibat di dalam pembuatan kepingan logam dan komponen dimesin tepat, selain penyediaan perkhidmatan berkaitan seperti mereka bentuk dan pembangunan serta perkhidmatan pemasangan sub-modul ditambah nilai.

 

Coraza menyediakan sokongan kejuruteraan bersepadu kepada para pelanggan, kebanyakannya merupakan syarikat multinasional besar yang merupakan peneraju pasaran dalam bidang masing-masing dan daripada industri yang memiliki pertumbuhan tinggi seperti semikonduktor, instrumen, sains hayat dan peranti perubatan, telekomunikasi, aeroangkasa serta elektrik dan elektronik.

 

 

coraza
Pengerusi Eksekutif Coraza Integrated Technology Bhd., Tony Ng memukul gong selepas penyenaraian syarikat di Bursa Malaysia pagi ini. Turut kelihatan, Pengarah Urusan Coraza, Lim Teik Hoe (empat dari kanan).

 

 

Mengenai prospek syarikat, Teik Hoe berkata, Coraza telah merancang untuk menggandakan ruang lantai perkilangannya bagi memenuhi permintaan yang semakin bertambah bagi perkhidmatannya.

 

"Buat pertama kali, syarikat akan meluaskan kilang sedia ada bagi menempatkan mesin baharu. Peluasan ini dijangka disiapkan bulan ini," tambahnya.

 

Selain itu, Coraza merancang untuk membina kilang baharu bertentangan dengan kilang sedia adanya di Nibong Tebal, Pulau Pinang bagi menambah keupayaan pengeluaran dan membolehkannya menyediakan perkhidmatan baharu kepada pelanggan pada masa hadapan.

 

Pembinaan kilang baharu ini akan membabitkan 3 fasa, dan dijangka siap menjelang Disember 2023. 

 

Bersempena dengan pembinaan kilang baharu, Coraza merancang untuk membeli mesin-mesin baharu dalam tempoh 3 tahun akan datang untuk kedua-dua kilang baharu dan sedia adanya.

 

Beliau juga memberitahu, pelaburan di dalam aeroangkasa merupakan satu strategi bagi meningkatkan 
keupayaan Coraza untuk memenuhi piawaian kualiti dan kejuruteraan aeroangkasa, yang merupakan lebih tinggi berbanding segmen industri lain. 

 

Ini memberi kelebihan daya saing bagi syarikat untuk berhubung dengan pelanggan, termasuk segmen industri bukan aeroangkasa.

 

“Memandang ke hadapan, kami positif terhadap prospek kami dengan syarikat terus meneguhkan kecekapan dan daya saing di seluruh segmen perniagaan teras di mana kami beroperasi," katanya.

 

Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2021, Coraza merekodkan untung bersih sebanyak RM3.5 juta bagi 
di sebalik perolehan sebanyak RM28.1 juta. Perolehan sesahamnya (EPS) bagi suku tersebut ialah 1.13 sen.

 

Bagi tempoh 9 bulan terkumpul berakhir 30 September 2021, syarikat mencatat keuntungan bersih RM8.9 juta di atas perolehan sebanyak RM71.3 juta. EPS berada pada 2.88 sen.

 

Tiada angka perbandingan buat masa ini kerana ia merupakan laporan kewangan interim pertama dikeluarkan oleh Coraza berkaitan perolehannya, seiring dengan pematuhan kepada keperluan penyenaraian.

 

Menurut prospektus syarikat, Coraza mencatat keuntungan bersih sebanyak RM8 juta dan perolehan RM83.7 juta bagi tahun kewangan 2020 (FY20).

 

Dalam tempoh suku tahunan semasa dan kewangan tahun ke tarikh hari ini, perolehan Coraza adalah daripada pelanggan industri semikonduktor (sebanyak 58%) didorong oleh lonjakan permintaan bagi produk berkaitan semikonduktor, diikuti instrumen dan industri perubatan dan sains hayat (36%).

 

Di bawah proses penyenaraian, Coraza telah menjana dana sebanyak RM33 juta daripada terbitan awam permulaan (IPO) sebanyak 117.8 juta saham bahari pada harga terbitan saham baharu 28 sen sesaham.

 

Penyenaraian tersebut turut merangkumi tawaran penjualan 21.4 juta saham sedia ada kepada pelabur terpilih menerusi penempatan persendirian.

 

Berdasarkan modal saham diperbesarkan sebanyak 428.3 juta saham, permodalan pasaran Coraza selepas disenaraikan adalah sebanyak RM119.9 juta.

 

M&A Securities Sdn. Bhd. merupakan Penasihat, Penaja, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan bagi proses IPO tersebut. - DagangNews.com