Country Heights berazam dapatkan semula sejumlah besar kerugian daripada prosiding timbang tara Borneo Heights  | DagangNews Skip to main content

Country Heights berazam dapatkan semula sejumlah besar kerugian daripada prosiding timbang tara Borneo Heights 

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 26 Jun - Country Heights Holdings Bhd berazam mendapatkan semula sejumlah besar kerugian daripada prosiding timbang tara membabitkan anak syarikatnya Borneo Heights Sdn Bhd.

 

Pengerusinya, Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor berkata, Country Heights telah melabur lebih RM100 juta untuk projek Borneo Heights sejak 28 tahun lalu.

 

"Syarikat berazam mendapatkan semula sejumlah besar kerugian melalui prosiding timbang tara.

 

 

 Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor
               Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor

 

 

"Country Heights berada di landasan yang betul untuk kembali kepada keuntungan, walaupun berdepan dengan isu undang-undang.

 

"Antaranya ialah penggulungan anak syarikat Mines Waterfront Business Park Sdn Bhd dan pertikaian pinjaman dengan MBSB Bank Bhd," kata Mohd Anwar semasa mesyuarat agung tahunannya (AGM) syarikat itu di sini hari ini.

 

Country Heights terlibat dalam timbang tara berterusan di Singapura berkaitan Borneo Heights, dengan Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA), sebuah badan berkanun di bawah kerajaan negeri Sarawak.

 

 

lcda
Menara LCDA atau Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah di Kuching, Sarawak

 

 

Perjanjian usaha sama (JVA) telah dimeterai pada tahun 1994 untuk membangunkan resort bukit dengan kemudahan pelancongan, rekreasi dan hortikultur yang komprehensif.

 

Isu itu timbul pada Jun 2020 apabila LCDA mendakwa klausa tertentu tidak dilaksanakan dalam JVA dan berkaitan pengurusan projek oleh Country Heights.

 

Pada November 2020, LCDA memberikan notis menamatkan JVA dan kehilangan tanah tanpa satu sen pampasan.

 

Sebagai sebahagian daripada transformasi, Country Heights berkata syarikat itu akan menaik taraf dan menyatukan portfolio resort dan hospitalitinya serta mengubah keseluruhan kumpulan menjadi hab kesihatan yang terulung.

 

Ini akan memberikan pengalaman kesihatan yang komprehensif dan diperibadikan yang disesuaikan bagi memenuhi keperluan masa depan ahli eksklusifnya.

 

Country Heights juga sedang memulakan transformasi dalaman untuk mengukuhkan keupayaan sumber manusianya dan sejajar dengan ekosistem baharu tenaga kerja.

 

 

 Tan Sri Lee Kim Yew
                        Tan Sri Lee Kim Yew

 

 

Pengasas dan penasihat Country Heights Tan Sri Lee Kim Yew berkata ia yakin dengan keupayaannya untuk mengharungi cabaran dan menyelesaikan pertikaian secara baik dengan MBSB Bank dan kerajaan Sarawak.

 

Lee berkata bersama anak syarikat dan rakan kongsinya, termasuk L1 Bank dan Mines Resort & Golf Club, syarikat itu akan menaik taraf kemudahan dan mengguna pakai teknologi canggih seperti blockchain dan AI untuk memastikan pengalaman pengguna yang selamat dan diperibadikan. - DagangNews.com