Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 7 Okt. – Syarikat-syarikat di seluruh dunia membelanjakan kira-kira AS$15 bilion (anggaran RM62.39 bilion) pada setiap minggu bagi teknologi tambahan untuk memastikan pekerjaan yang selamat di rumah ketika COVID-19.
Menurut laporan kaji selidik 2020 Harvey Nash/KPMG CIO Survey, perbelanjaan itu mencatatkan jumlah tertinggi dalam sejarah pelaburan teknologi dengan perbelanjaan tiga bulan pemimpin IT dunia melebihi bajet tahunan mereka, didorong perintah berkurung di seluruh dunia.
Kaji selidik itu mendapati, situasi berkenaan menyebabkan bajet teknologi akan mengalami tekanan yang lebih tinggi sepanjang tahun akan datang.
Rakan Pengurusan KPMG Malaysia, Datuk Johan Idris berkata, memandangkan para pemimpin digital mempercepat pelaburan, mereka akan berada dalam kedudukan lebih baik untuk beralih dan memperluas ke dalam peluang baharu.
“Tetapi, mereka yang sebaliknya tidak melabur dalam teknologi membangun cenderung untuk menarik balik pelaburan mereka.
“Oleh itu, krisis ini mencetuskan perkembangan jurang antara organisasi yang memacu strategi mereka menerusi teknologi dan mereka yang tidak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kaji selidik itu dijalankan ke atas 4,291 Ketua Pegawai Maklumat (CIO) dan eksekutif teknologi di 83 buah negara.
Analisis lanjut tinjauan itu menunjukkan pemimpin digital lebih cenderung untuk membuat pelaburan tambahan teknologi berbanding mereka yang bukan digital di mana lebih 50% organisasi sangat berkesan dalam menggunakan perbelanjaan teknologi kira-kira 21% hingga 50%.
Pelaburan itu menumpukan pada pelaksanaan berskala besar seperti Pengagihan Awan (42% dan Saas (34%).
Dalam pada itu, sekuriti dan privasi merupakan pelaburan teratas ketika COVID-19 dengan empat daripada 10 pemimpin IT melaporkan syarikat mereka berdepan serangan siber.
Tambah Johan, pandemik COVID-19 merupakan amaran kepada banyak pihak dan telah mempercepat langkah transformasi digital di Malaysia.
“Peralihan dramatik ini mendorong organisasi untuk memikirkan semula strategi digital mereka untuk mengatasi risiko dan meningkatkan bakat tanpa berkompromi pada aspek keselamatan dan privasi organisasi, terutama dengan cara kerja baharu ini,” ujar beliau.
Seiring itu, Ketua Transformasi IT KPMG Malaysia, Alvin gan berkata, ini merupakan kali pertama kemahiran berkaitan keselamatan mendahului senarai kekurangan kemahiran teknologi global selama lebih dari satu dekad.
“Malaysia turut berdepan kekurangan kemahiran keselamatan siber. Statistik menunjukkan hanya 10,733 profesional keselamatan siber pada bulan Mac 2020, yang bermaksud nisbahnya adalah 1 kepada 2,600 pengguna Internet, walaupun menunjukkan peningkatan berbanding tahun 2015 di mana nisbahnya adalah 1: 3,800.
"Ini menunjukkan bahawa kemahiran keselamatan siber masih kurang dan kekal sebagai kemahiran yang paling banyak dicari di Malaysia," katanya. – DagangNews.com