COVID-19 merubah persepsi sains dan kepentingannya | DagangNews Skip to main content

COVID-19 merubah persepsi sains dan kepentingannya

Oleh Kevin McGuigan,
Pengarah Urusan 3M (Rantau Asia Tenggara)

 

IMPLIKASI dunia tanpa sains telah menjadi lebih jelas pada tahun 2020 ketika seluruh dunia dilanda oleh wabak COVID-19. Mari kita imbau semula peranan teknologi dalam usaha untuk menangkis wabak semasa. Di Asia Tenggara misalnya, negara seperti Malaysia dan Singapura telah memanfaatkan teknologi era baharu dalam kadar yang pantas, antaranya melibatkan aplikasi pengesanan kontak dan konsultasi kesihatan secara maya untuk memelihara kesihatan dan keselamatan warga umum.

 

Senario ini menunjukkan betapa kepentingan sains dan inovasi serta relevansinya dalam dunia masa kini yang kian berubah. Sentimen yang sama turut dicerminkan dalam penemuan gelombang kedua yang dibentangkan menerusi tinjauan State of Science Index (SOSI) oleh 3M, berjudul 2020 Pandemic Pulse, yang telah diadakan sepanjang bulan Julai-Ogos 2020, kira-kira enam bulan selepas tercetusnya wabak tersebut.

 

Ketika COVID-19 melanda seluruh benua, 89% daripada golongan yang ditinjau mempercayai sains; 86% mempercayai para saintis; dan 77% cenderung untuk bersetuju bahawa sains memerlukan suntikan pembiayaan. Tambahan lagi, 92% responden global percaya bahawa tindakan yang diambil oleh individu harus berpaksikan sains untuk membendung wabak global semasa, sekali gus menjadi satu lagi penanda aras yang menyaksikan kepercayaan orang ramai terhadap sains. Nampaknya, buat julung kali, apresiasi terhadap sains telah diperbaharui dalam kalangan orang ramai di seluruh dunia.

3M

 

Sains telah melahirkan wira dan wirawati baharu

Dunia yang kian meragukan sains sudah mula sedar tentang kepentingannya. Menurut SOSI, buat pertama kali sejak tiga tahun yang lalu, hanya 28%* individu yang ditinjau mempunyai keraguan terhadap sains (menunjukkan penurunan sebanyak 7 mata dalam bab keraguan dalam tempoh kurang daripada setahun). SOSI belum pernah menyaksikan perubahan yang begitu ketara dalam trend tersebut.

 

Di peringkat global, orang ramai mula menunjukkan sokongan kepada barisan pekerja kesihatan dan saintis sebagai adiwira baharu. Ini termasuk tiga wirawan yang terdiri daripada pakar kesihatan negara - Dr. Fauci dari Amerika Syarikat, Dr. Ashley Bloomfield dari New Zealand, dan di tanah air kita sendiri, Dr. Noor Hisham Abdullah. Mereka menyarungkan PPE sebagai kostum adiwira mereka, dan mengendong kepakaran dalam bidang kesihatan sebagai kekuatan mereka.

 

hisham
Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah

 

Kelestarian dan sains kini ditimbang tara dengan sentimen yang sama

Ketika penawaran solusi kesihatan terus menjadi keutamaan di sebalik pandemik semasa (80%), orang ramai kini mengharapkan sains untuk menyelesaikan isu-isu kritikal yang melibatkan alam sekitar serta keadilan sosial, termasuk hak kesaksamaan dalam bidang STEM (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik) serta pendidikan STEM yang mudah untuk diakses oleh semua. Malah menurut SOSI, 82% individu yang ditinjau bersetuju bahawa kesan negatif akan dialami oleh dunia yang tidak mempedulikan sains.

 

Pencorakan imej mengenai sains ini menjadi tema utama penemuan yang dibuat oleh SOSI. Meskipun dunia masih jauh lagi dari berkongsi pandangan yang sama terhadap sains, kita tidak dapat menyangkal lagi bahawa orang ramai mula menyedari tentang keupayaan sains untuk memperbaiki kehidupan kita.

 

Kepercayaan dan penghargaan terhadap sains yang semakin meningkat juga disaingi oleh jurang dan cabaran yang perlu ditangani agar generasi saintis baharu dapat ditunjangi oleh kepelbagaian dan keupayaan untuk menangani isu-isu global dengan betul.

 

Kekangan akses ke atas pendidikan STEM masih wujud di Asia Tenggara

Meskipun sentimen pro-sains jauh lebih kuat pada masa kini, ramai individu yang hilang galakan untuk menuntut ilmu sains, khususnya generasi muda. SOSI melaporkan bahawa individu muda (28%) adalah tiga kali ganda lebih cenderung untuk kehilangan sumber galakan bagi menjurusi pengajian sains berbanding ‘baby boomer’ (9%).

 

Di samping itu, wujud pelbagai tanggapan negatif terhadap subjek STEM yang sering dibebani para pelajar. Ia melibatkan kekurangan akses, keyakinan, serta jurang ketidaksamaan dari segi jantina dan kaum yang menguncupkan aspirasi mereka terhadap kerjaya dalam STEM walaupun terdapat sistem sokongan untuk membantu mereka.

 

Sebagai contoh, kerajaan Thailand, Indonesia dan Malaysia membelanjakan 20% daripada bajet negara untuk memperbaiki sistem pendidikan masing-masing serta menerapkan subjek STEM dalam kurikulum mereka. Namun begitu, ramai pelajar Asia Tenggara masih rasa terasing daripada subjek STEM yang diajar di bilik darjah, serta kegunaannya dalam dunia sebenar.


Pada tahun 2018 misalnya, hanya separuh daripada para pelajar Malaysia (44%) memilih subjek STEM kerana mereka tidak dapat melihat dengan jelas sumbangan sains dalam kehidupan mereka, dan hanya 33.1% pelajar memilih untuk menuntut subjek STEM di Indonesia. Manakala, Filipina pula menduduki tangga kedua tercorot berbanding 79 negara lain dalam literasi matematik dan sains seperti yang dibentangkan dalam Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA), dianjurkan oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

 

Walaupun STEM kini mula mendapat daya tarikan di Vietnam, kekurangan buku STEM dan bahan sains lain, serta kekurangan latihan yang betul dan pemikiran inovatif di kalangan guru adalah beberapa cabaran yang dihadapi oleh pendidikan STEM di pasaran yang berkembang pesat ini.

 

Pemupukan pendidikan STEM dapat mendorong inovasi dan kebolehgajian di peringkat serantau.

Mungkin salah satu cara untuk meleraikan stereotaip negatif terhadap pendidikan STEM di Asia Tenggara adalah dengan memperkayakan kaedah pembelajaran yang praktikal dan berasaskan kemahiran di sekolah bagi pengajian STEM. Contohnya, dengan memanfaatkan peralatan digital seperti video yang dipadankan dengan latihan dan projek yang praktikal, ia dapat memupuk minat dan keterlibatan para pelajar dalam mata pelajaran STEM.

 

3M

 

Dorongan ke arah pengajian STEM juga boleh diwujudkan dengan memperlihatkan pelbagai potensi kerjaya melalui sains dan teknologi. Rantau Asia Tenggara pada hari ini merupakan salah satu pasaran yang mempunyai kadar pertumbuhan yang terpesat, serta memiliki potensi yang besar untuk kemajuan teknologi. Peluang-peluang baharu yang wujud dalam pasaran ini memastikan permintaan ke atas tenaga kerja yang berkelayakan sentiasa ada.

 

Sebagai contoh, Thailand beraspirasi untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2035 dengan matlamat untuk mencetus inovasi dalam bidang kecerdasan buatan (artificial intelligence), robotik, biosains, aeroangkasa serta bidang-bidang lain yang digelar secara kolektif sebagai revolusi industri keempat. Filipina pula sudah mula mengambil langkah ke arah penubuhan bandar pintarnya yang pertama, dan Indonesia telah bertapak sebagai hab teknologi serantau, yang telah pun melahirkan pelbagai ‘syarikat permulaan atau start-up’ berasaskan teknologi yang signifikan seperti Traveloka dan Gojek.

 

Ketika pasaran ini mula menyaksikan kematangan dalam bidang teknologinya, pengajian berkaitan dengan STEM dapat membantu melahirkan para graduan yang berkemahiran dan berkelayakan untuk memasuki industri ini dengan perspektif baharu serta semangat untuk berinovasi.

 

3M menggalakkan kolaborasi dan tanggungjawab bersama untuk membuka haluan bagi pertumbuhan konsisten dan inovasi dalam sains.

Sama ada bagi tujuan pencarian solusi bersifat lestari yang baharu untuk menyelesaikan isu-isu global yang kritikal, atau untuk menggalakkan lebih ramai golongan muda untuk menjurusi pengajian STEM, kolaborasi antara pihak kerajaan, perusahaan swasta, institusi akademik dan organisasi bukan kerajaan (NGO), semuanya adalah mustahak untuk memacu pertumbuhan dalam bidang sains.

 

SOSI 2020 turut menunjukkan 53% responden yang percaya bahawa di sebalik cabaran yang melatari tahun 2020, syarikat-syarikat besar perlu menjalin usaha sama dengan pihak kerajaan untuk mencari solusi bagi menangani isu global — yang menyusuli kepentingan persiapan untuk menghadapi pandemik baharu (61%).

 

Bak kata pepatah Inggeris, “Actions speak louder than words.” Di 3M, kami telah membuat beberapa pengumuman yang bersesuaian dengan keutamaan yang orang ramai ingin entiti-entiti perniagaan tangani. Setiap tahun, 3Mgives menganjurkan peraduan bertaraf antarabangsa yang menghadiahkan geran untuk mendukung tiga tunjang utama yang terdiri daripada Komuniti, Alam Sekitar dan Pendidikan.

 

Pada tahun 2019, bagi kategori geran Pendidikan 3Mgives sahaja, 3M telah melaburkan sebanyak AS$150,500 untuk merapatkan jurang ketidaksamaan bagi golongan yang kekurangan suara di rantau Asia Tenggara. Ia dapat direalisasikan dengan menjalin usaha sama secara aktif dengan pihak NGO dan organisasi tempatan yang terlibat dalam bidang pendidikan.

 

Di Vietnam, AS$22,000 telah dianugerahkan kepada Loreto Vietnam; di Malaysia, AS$17,500 telah diberikan kepada Teach for Malaysia; serta Doctorabbit Indonesia telah menerima AS$26,000. Sementara itu, The Mind Museum di Filipina telah menerima AS$50,000, dan Science Centre Singapore dianugerahkan AS$35,000.

 

Dengan memeterai kolaborasi bersama para penjulang pendidikan ini, kami dapat membangunkan program-program bermakna yang bukan sahaja dapat menggilap minat ke atas STEM, malah menginjak lebih dekat untuk merapatkan jurang ketidaksamaan dalam bidang pendidikan.

 

SOSI telah menunjukkan bahawa angin perubahan yang mendukung kepentingan sains mula dirasai semula. Sebagai warga dunia yang bertanggungjawab, kita perlu memastikan sumbangan sains yang bermakna diberi penghargaan agar kita dapat mewujudkan dunia yang bersifat lebih lestari. - DagangNews.com

 

3m