Creative Lab sasar 60 cawangan seluruh negara | DagangNews Skip to main content

Creative Lab sasar 60 cawangan seluruh negara

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 April — Penyedia perkhidmatan rekaan rumah, Niro Ceramic Creative Lab Sdn. Bhd. (Creative Lab) telah melancarkan program francais seluruh negara dengan sasaran lebih 60 cawangan menjelang akhir tahun 2021.

 

Menerusi lebih 40 cawangan di seluruh negara buat masa ini, Creative Lab berhasrat untuk mempercepatkan proses pengembangan perniagaannya melalui program francais itu.

 

Dalam masa sama, Creative Lab yang mempunyai cawangan di Indonesia, Vietnam dan Filipina merancang untuk meluaskan kehadiran serantaunya dalam masa dua tahun akan datang.

 

Ketua Pegawai Peruncitan di Creative Lab, Keith Loh berkata, menerusi program francais berkenaan, pihaknya mahu menjadikan Creative Lab mudah diakses oleh pemilik rumah di Malaysia dalam menikmati pengalaman baharu pengubahsuaian rumah.

 

“Dengan melancarkan program francais ini, kami ingin berkongsi kepakaran kami dalam industri ini bersama rakan kongsi yang berpotensi, seterusnya memperkasakan mereka untuk memulakan perjalanan keusahawanan bersama kami,” katanya dalam sebuah kenyataan baru-baru ini.

 

Creative Lab telah menawarkan perkhidmatan kepada ribuan pemilik rumah untuk mengubahsuai kediaman mereka dengan menggunakan perisian reka bentuk canggih yang boleh didapati di semua cawangan syarikat itu.

 

Selain menawarkan jubin dan kelengkapan Niro Granite, Creative Lab juga menawarkan ORIN, jenama kelengkapan bilik air premium dengan teknologi inovatif untuk melengkapi jubinnya. – DagangNews.com