Cyberjaya menuju bandar pintar rendah karbon menerusi usaha tenaga boleh diperbaharui | DagangNews Skip to main content

Cyberjaya menuju bandar pintar rendah karbon menerusi usaha tenaga boleh diperbaharui

Oleh Dr. Mohd Hafiz Ibrahim, Pemangku Pengarah Urusan, Cyberview

MALAYSIA, seperti banyak negara lain di seantero dunia, menyedari keperluan mendesak menangani isu perubahan iklim.

 

Sejajar dengan ratifikasi antarabangsa untuk mengurangkan emisi karbon dan meminimumkan impak perubahan iklim, kerajaan Malaysia telah menzahirkan komitmen yang signifikan dan berikrar untuk mencapai matlamat pengurangan emisi gas rumah hijau (GHG) tanpa syarat sebanyak 45% daripada KDNK pada tahun 2030 berbanding pada tahun 2005.

 

Matlamat ini juga selari dengan Persidangan Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, yang mana Malaysia menunjukkan komitmennya untuk bekerjasama dengan komuniti antarabangsa demi mencipta masa depan yang lebih lestari untuk semua.

 

Bagi memastikan matlamat ini tercapai dalam masa tujuh tahun akan datang, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) akan memperkenalkan sasaran pengurangan pelepasan bagi sektor-sektor perindustrian penting seperti tenaga.

 

Kementerian juga berhasrat untuk beralih kepada 31% tenaga yang boleh diperbaharui dalam kapasiti terpasang dalam masa dua tahun lagi.


 

Dr. Mohd Hafiz Ibrahim
                         Dr. Mohd Hafiz Ibrahim

 


Transformasi ke tenaga yang boleh diperbaharui dengan kapasiti terpasang merupakan langkah penting dalam menuju pembangunan lestari dan saksama di Malaysia. Malah, peralihan ini juga merupakan sebahagian daripada aspirasi kelestarian konsep Malaysia Madani yang diunjurkan oleh Perdana Menteri kita.

 

Kuasa solar terapung di Cyberjaya

Dalam mencapai cita-cita ini, Cyberview sebagai Pembangun Hab Teknologi Cyberjaya telah mengambil langkah proaktif dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) bersama sebuah konsortium yang dipimpin oleh Worldwide Holdings Bhd, sebuah syarikat yang diiktiraf sebagai peneraju dalam perkhidmatan pengurusan alam sekitar, untuk meneroka peluang dalam mempromosikan tenaga baharu dan tenaga yang boleh diperbaharui.

 

Kerjasama ini membenarkan pertukaran kepakaran antara Cyberview dan Worldwide Holdings untuk meneroka pengetahuan, kajian, sumber dan pelaksanaan satu projek inovatif yang unik iaitu pembangunan loji kuasa solar terapung di Cyberjaya.

 

MOU tersebut juga menggariskan usaha kami untuk terus menelusuri peluang lain seperti Program Tenaga Hijau Korporat yang diperkenalkan oleh Suruhanjaya Tenaga pada bulan November tahun lalu.

 

Loji solar terapung dianggap lebih efisien daripada loji solar konvensional. Ia boleh dipasang di atas badan air yang tidak digunakan, seperti tasik dan empangan, untuk pelbagai tujuan. Ini bermakna, loji solar terapung ini tidak perlu mengorbankan ratusan ekar kawasan hutan atau tanah-tanah lapang yang boleh diusahakan untuk perkara lain seperti pertanian atau pembangunan.

 

Dari lensa yang lain, SolarisFloat, sebuah syarikat Eropah, percaya bahawa teknologi ini akan meningkatkan pengeluaran tenaga sehingga ke 40 peratus.

 

Bagi penduduk Cyberjaya, terdapat beberapa kelebihan dalam pembangunan loji kuasa solar terapung di tasik kita. Misalnya, loji solar terapung yang direka dengan rapi akan meredakan ancaman perubahan iklim seperti penyejatan air tasik.

 

Selain itu, ia dapat mengurangkan kelajuan angin dan radiasi matahari sebanyak 10 peratus di serata kawasan Tasik Cyberjaya. Menurut kajian, usaha ini boleh mengatasi pemanasan global selama sepuluh tahun kesan daripada perubahan iklim.


 

parafrasa

 


Persilangan Tenaga Yang Boleh Diperbaharui dan ESG

Cyberview komited untuk terus memperkenalkan langkah-langkah kelestarian dalam Cyberjaya untuk mengangkat imejnya sebagai bandar pintar yang mampan dan rendah karbon. Namun, ini adalah satu perjalanan yang panjang dan sentiasa berevolusi, dan masih ada berbagai-bagai perkara yang perlu dilakukan.

 

Semasa majlis pelancaran kerjasama kami dengan Roda Emas Industries Sdn Bhd dan stesen cas Go To-U di RekaScape, Menteri NRECC, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata bahawa "kelestarian" bukan hanya tentang penggunaan kenderaan elektrik (EV), tetapi juga mengkaji bagaimana tenaga mengecas kereta-kereta ini dijana.

 

Bagaimanapun, projek tenaga yang boleh diperbaharui seperti loji kuasa solar terapung ini sebenarnya boleh merungkai persoalan yang diutarakan Nik Nazmi. Projek ini membolehkan kami mengkaji lebih banyak peluang untuk meneraju Cyberjaya ke arah kemajuan penjanaan tenaga yang boleh diperbaharui.

 

Dalam pada itu, Cyberview baru sahaja melancarkan Rangka Kerja Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) serta Rancangan 5 Tahun yang memberi tumpuan kepada soal pembangunan bandar pintar rendah karbon sebagai salah satu tonggak utama. Pada kami, cadangan pembangunan loji kuasa solar terapung ini tepat pada masanya dan menepati matlamat pelan kami.

 

Pelan tindakan kami selanjutnya untuk mencapai hasrat ini turut melibatkan pengurangan ketumpatan emisi karbon secara keseluruhan sebanyak 5 peratus setiap tahun, dengan pelepasan karbon pada tahun 2022 sebagai penanda aras.

 

Antara usaha lain ialah penggunaan bahan binaan dengan kandungan kitar semula serta pengasingan sisa sepenuhnya di sumber.

 

Kami yakin usaha kami selari dengan konsep Malaysia Madani. Tatkala rangka kerja kemampanan tersebut adalah penting untuk mencapai matlamat negara kita, sebenarnya ia juga menjadi perhatian pelabur yang memfokuskan tanggungjawab sosial sebagai kriteria menentukan pelaburan mereka.

 

Satu kajian oleh Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia dan PWC pada September lalu menunjukkan bahawa pertimbangan ESG kini menjadi keutamaan tinggi dalam membuat keputusan pelaburan.

 

Melalui integrasi faktor ESG ke dalam usaha-usaha kami, secara tidak langsungnya kami menyumbang kepada pembangunan mampan Cyberjaya. Hasilnya, kami mengukuhkan reputasi dan daya tarikan bandar ini kepada pelabur yang mengutamakan pertimbangan ESG.


 

parafrasa

 


Daripada Keuntungan kepada Tujuan

Saban hari, kita perhatikan bagaimana negara kami menerima impak cuaca yang tidak menentu, menyebabkan banjir yang dahsyat dan paras air laut yang kian meningkat. Pelbagai usaha sedang dilakukan untuk mengurangkan bencana dan meningkatkan kesedaran terhadap masa depan yang mampan.

 

Bahkan dalam ekosistem kolaboratif kami di Cyberjaya, para pemegang taruh, perniagaan dan komuniti kami memandang serius terhadap agenda perubahan iklim negara.

 

Misalnya, tahun lalu kami telah bekerjasama dengan Yinson Greentech untuk mengembangkan ekosistem Mobiliti Pintar dan melaksanakan teknologi yang berkaitannya termasuk kenderaan elektrik, kenderaan autonomi, mobiliti sebagai perkhidmatan, dan sistem pengangkutan pintar, menggunakan Cyberjaya sebagai lapangan uji cuba.

 

Selain itu, Kumpool sedang meneroka peluang dengan Prasarana Nasional untuk memberi perkhidmatan kepada stesen LRT dan MRT. Syarikat ini telah menjalankan lapangan uji cuba mobiliti mereka di Cyberjaya sebagai model perkhidmatan sebelum mengembangkan operasi mereka di Lembah Klang.

 

Sementara itu, Vantage sedang membina pusat data mampan untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau. Urban Farm Tech pula sedang mengkaji cara mencipta bandar yang mampan dan sihat melalui pertanian urban, menggabungkan pertanian dalam ruang tertutup dan akuaponik di Kampus Kolaborasi.

 

Bandar kami juga telah mendorong agenda kelestarian dengan memasang panel solar di atas bumbung tempat letak kereta, menubuhkan pusat kitar semula komuniti, dan pengiktirafan bangunan hijau melalui pensijilan Platinum Green Building Index yang dianugerahkan kepada Masjid Raja Haji Fi Sabilillah kami.

 

Malah, bandar ini dicipta untuk menjadi bukti masa depan yang selamat dari segi pembangunan bandar yang mampan. Cyberview melalui anak syarikatnya, Pendinginan Megajana Sdn Bhd telah mengambil pendekatan pendinginan berpusat melalui air sejuk di seluruh Cyberjaya sejak tahun 1999.


 

megajana
Kompleks Megajana di Cyberjaya, Malaysia.

 


Kini, 46 bangunan di Cyberjaya menerima saluran air sejuk melalui 2 kilang pendinginan daerah yang diurus oleh Megajana. Melalui sistem penyaluran air sejuk ini, bandar ini dapat mengurangkan kira-kira 7,000 tan CO2 setahun, berbanding sistem pendinginan tradisional.

 

Melalui semua usaha yang sedang berlangsung ini, Cyberview meneruskan usaha mencari rakan kongsi dengan pelan tindakan bagi tujuan menjadikan Cyberjaya, dan seterusnya Malaysia, sebuah negara yang lebih rancak, inovatif dan mampan.

 

Kami menggalakkan mana-mana syarikat yang sehaluan dengan aspirasi kami untuk datang melawat hab teknologi global kami dan mulakan perbincangan tentang bagaimana pelan tindakan anda dapat berfungsi dalam persekitaran khazanah dalam bandar pintar rendah karbon kami, Cyberjaya. – DagangNews.com