KUALA LUMPUR 1 Sept - Dagang NeXchange Berhad menerusi Ping Petroleum UK PLC, unit perniagaan di bawah DNeX Energy Sdn. Bhd. dan Anasuria Hibiscus UK Limited memeterai Perjanjian Farm-in bagi Lesen P2451 bersama Rapid Oil Production Ltd.
Kumpulan itu berkata, di bawah terma Perjanjian Farm-in, Ping Petroleum dan Anasuria Hibiscus hendaklah secara berasingan memperoleh 42.5% kepentingan ekuiti setiap satu dalam lesen berkenaan dengan baki 15% kekal bersama Rapid Oil.
Lesen itu adalah bagi memegang medan minyak yang belum dibangunkan, medan minyak Fyne, yang terletak di Laut Utara Tengah, United Kingdom, dengan anggaran 75 MMboe STOOIP.
"Setelah selesai cadangan pengambilalihan itu, Anasuria Hibiscus hendaklah dilantik sebagai pengendali pembangunan lapangan.
"Minyak pertama dijangka pada 2026, dengan Anasuria Operating Company Limited (dimiliki sama oleh Ping Petroleum dan Anasuria Hibiscus) akan mengambil alih sebagai pengendali pengeluaran Fyne daripada Anasuria Hibiscus," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Kumpulan itu berkata, medan minyak Fyne mempunyai kedalaman air kira-kira 90 meter dan kira-kira 16km dari kapal Penyimpanan dan Pemunggahan Pengeluaran Terapung Anasuria (FPSO).
Rancangan awalnya adalah untuk mengikat semula pembangunan telaga tunggal kepada kapal FPSO.
Katanya, penambahan medan minyak Fyne dijangka dapat meningkatkan nilai dan memanjangkan jangka hayat aset sedia ada dalam kelompok Anasuria.
Kelompok Anasuria ialah portfolio seimbang bagi lesen pengeluaran, penilaian dan penerokaan di Laut Utara UK yang terletak 175km timur Aberdeen.
"Ia juga menggabungkan Teal, Teal South, Guillemot A (Ping Petroleum mempunyai kepentingan 50% dalam setiap bidang) dan medan Cook (Ping Petroleum mempunyai kepentingan 19.3%).
"Semua medan ini berkongsi platform hos FPSO dan terletak pada kedalaman air 94m. Ping Petroleum dan Anasuria Hibiscus masing-masing mempunyai 50% bahagian Anasuria FPSO," katanya.
Projek ini tertakluk kepada kelulusan Pihak Berkuasa Peralihan Laut Utara (NSTA). - DagangNews.com