Dana UOB Asset Management Malaysia nombor 1 di ASEAN | DagangNews Skip to main content

Dana UOB Asset Management Malaysia nombor 1 di ASEAN

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 19 April - United ASEAN Discovery Fund dari UOB Asset Management Malaysia (UOBAM Malaysia) menduduki tangga teratas dalam Jadual Liga Ekuiti ASEAN 2020 oleh Lipper, mengatasi prestasi rakan industri lain dengan pulangan purata sebanyak 63%.

 

Jadual liga ini memilih dana ekuiti ASEAN di Malaysia berdasarkan pendapatan dan peningkatan modal mereka selama tiga tahun bermula 1 Januari 2018 hingga 31 Disember 2020.

 

United Income Plus Fund dan United Bond and Equity Strategic Trust dari UOBAM Malaysia juga menduduki tempat kedua dan keempat dalam Jadual Liga Lipper, masing-masing untuk Aset Campuran Ringgit Konservatif (bagi tempoh tiga tahun) dan Aset Campuran Ringgit Seimbang Global (bagi tempoh lima tahun).

 

Jelas UOBAM Malaysia, pada 31 Disember 2020, United Income Plus Fund mengatasi prestasi pulangan purata rakan industri sebanyak 8%, manakala United Bond and Equity Strategic Trust pula mengatasi prestasi sebanyak 9%.

 

Sebagai mengiktiraf prestasi kukuh mereka, tiga dana juga menerima penghormatan berikut di Anugerah Dana Refinitiv Lipper Malaysia 2021:

 

  • Dana Terbaik bagi tempoh Tiga Tahun, Ekuiti ASEAN untuk United ASEAN Discovery Fund;

 

  • Dana Terbaik bagi tempoh Tiga Tahun, Aset Campuran RM Konservatif untuk United Income Plus Fund untuk tahun kedua berturut-turut; dan

 

  • Dana Terbaik bagi tempoh Lima Tahun, Aset Campuran RM Seimbang - Global untuk United Bond and Equity Strategic Trust.

 

Ketua Pegawai Eksekutif UOBAM Malaysia, Lim Suet Ling berkata, pihaknya mengamalkan pendekatan penyelidikan ‘bawah ke atas’ dan memberi tumpuan pada asas syarikat sebagai sebahagian daripada strategi pelaburan berstruktur untuk mencapai prestasi dana dan pulangan yang terbaik buat pelabur.

 

Lim Suet Ling
Lim Suet Ling

 

“Kami juga memanfaatkan kepakaran pasukan serantau kumpulan UOBAM yang mempunyai pengetahuan tempatan yang mendalam tentang pasaran di Brunei, Indonesia, Singapura, Thailand dan Vietnam, selain pasukan kami sendiri di Malaysia.

 

“Pada 2020, terutamanya dengan mempertimbangkan kesan daripada COVID-19, kami telah memberi tumpuan kepada syarikat dalam sektor berkaitan penjagaan kesihatan, sebagai contoh, pengeluar sarung tangan perubatan yang mengalami keuntungan luar biasa semasa pandemik.

 

“Pemecutan yang berterusan dalam digitalisasi di seluruh dunia mendorong kami menyusun semula strategi untuk meningkatkan peruntukan aset ke sektor teknologi,” jelasnya dalam sebuah kenyataan hari ini.

 

Dalam usaha untuk mengatasi cabaran daripada pandemik, kebanyakan syarikat telah meningkatkan kadar transformasi digital mereka, justeru membawa kepada permintaan kukuh untuk penyelesaian teknologi, kata UOBAM Malaysia.

 

Syarikat di ASEAN yang merupakan sebahagian daripada rantaian nilai teknologi juga meraih keuntungan daripada peralihan rantaian bekalan ke rantau ini berikutan ketegangan perdagangan yang masih berterusan antara Amerika Syarikat dan China, tambah pengurus dana itu lagi.

 

“United ASEAN Discovery Fund mengambil kesempatan daripada trend ini dengan pendedahan kepada syarikat berkaitan teknologi bersaiz kecil hingga sederhana di ASEAN.

 

United Income Plus Fund dilaburkan dalam banyak syarikat teknologi terkemuka di dunia seperti Alphabet dan Amazon, manakala United Bond and Equity Strategic Trust mempunyai pemegangan dalam syarikat semikonduktor terkemuka dan teknologi baru muncul seperti TSMC dan Tencent,” jelas UOBAM Malaysia. – DagangNews.com