Skuad Harimau Malaya giat menjalani latihan sebagai persiapan menjelang aksi Piala AFF di Singapura.-Gambar ihsan Facebook FAM
NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 29 Nov - Kecederaan lama kembli menghantui Darrenn Lok membuatkan pemain itu terpaksa diketepikan menjelang kempen Piala AFF yang akan bermula dalam tempoh tujuh hari lagi di Singapura.
Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengesahkan perkara itu selepas pemain Petaling Jaya City (PJ City) itu mengalami kecederaan otot di bahagian perut.
"Dia tidak akan meneruskan kem latihan pusat kebangsaan selepas disahkan mengalami kecederaan otot berulang pada hari kelima melaporkan diri awal minggu ini.
"Kami agak terkilan kerana pretasinya konsisten dalam saingan Liga Malaysia tetapi tiada rezeki dia untuk bersama kami," katanya.
Cheng Hoe juga tidak akan memanggil mana-mana pemain baharu untuk menggantikan pemain kacukan itu kerana mengakui skuad Harimau Malaya sudah semakin kesuntukan masa.
"Barisan kejurulatihan mengambil keputusan untuk tidak memanggil mana-mana pemain dan berpuas hati dengan senarai sedia ada," katanya.
Dalam aksi Piala AFF, Malaysia berada Kumpulan B bersama Kemboja, Laos, Vietnam dan Indonesia selain skuad Harimau Malaya meletakkan sasaran mara ke pentas final.
Sementara itu, Cheng Hoe mengakui lega apabila dua pemain yang beraksi di separuh akhir Piala Malaysia iaitu Faisal Halim dari Terengganu FC (TFC) dan Khairul Fahmi Che Mat (Melaka United) sudah melaporkan diri hari ini.
"Faisal dan Apek (Khairul Fahmi) sudah bersama kami. Cuma, Arif Fadzilah (Abu Bakar) diberi pelepasan sehari kerana mengadu tidak sihat dan akan bersama pasukan esok," katanya.-Dagangnews.com