KUALA LUMPUR 26 Julai - Kerajaan telah menarik balik semua ordinan darurat pada 21 Julai lalu dan memutuskan tidak akan menasihati Yang Dipertuan Agong untuk menyambung Proklamasi Darurat yang akan tamat pada 1 Ogos ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan juga memutuskan berdasarkan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, semua ordinan yang telah dibuat sepanjang tempoh Proklamasi Darurat dibatalkan.
"Kerajaan sudah menarik balik semua ordinan darurat berkenaan pada 21 Julai lalu.
"Pembatalan ini menjadikan isu Proklamasi dan Ordinan Darurat tidak lagi berbangkit," katanya pada hari pertama Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pelaksanaan beberapa ordinan sepanjang tempoh Proklamasi Darurat antaranya Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu); Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (pindaan) 2021 dan Ordinan Darurat (Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah) (pindaan) 2021.
Selain itu, Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (pindaan) 2021 dan Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja)(pindaan) 2021, turut dilaksana dalam usaha membendung penularan COVID-19.
Takuyiddin menjelaskan, Yang Dipertuan Agong juga sudah memberi perkenan kepada sidang khas Dewan Rakyat kali ini, yang berlangsung pada 26, 27, 28 dan 29 Julai serta 2 Ogos manakala persidangan Dewan Negara ditetapkan pada 3 hingga 5 Ogos.
"Dalam surat ini (kepada kerajaan), titah Yang Dipertuan Agong memberi maklum sudah perkenan untuk kerajaan adakan sidang khas pada 26 Julai (hari ini)," katanya, lapor Berita Harian.
Sidang khas Parlimen sebelum ini pernah diadakan antaranya berkenaan isu Gaza pada 12 Januari 2009, isu MH17 pada 23 Julai 2014 dan Isu Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) pada 26 dan 27 Januari 2016. - DagangNews.com