Dasar Ekonomi Madani jadi pelopor kepada pelan subsidi disasarkan pada Belanjawan 2024, kata CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

Dasar Ekonomi Madani jadi pelopor kepada pelan subsidi disasarkan pada Belanjawan 2024, kata CGS-CIMB

oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 28 Julai - Ekonomi Madani pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin menjadi pelopor kepada pelan subsidi disasarkan yang lebih terperinci dalam Bajet 2024 akan datang, dan patut diberi perhatian dalam beberapa bulan akan datang.

 

CGS-CIMB Securities Sdn Bhd berkata, Ekonomi Madani menggariskan inisiatif sosio-ekonomi melalui peningkatan kerumitan ekonomi, mewujudkan persekitaran pelaburan yang kondusif dan meningkatkan daya tahan ekonomi, sambil mengutamakan aspek sosial melalui kesaksamaan, meningkatkan perlindungan sosial dan meningkatkan mobiliti sosial.

 

Menurutnya, Ekonomi Madani membentuk asas untuk rancangan akan datang, termasuk Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 pada Ogos, kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12 pada September dan Bajet 2024 pada Oktober.

 

“Pengumuman ini akan memberikan gambaran yang lebih jelas tentang hala tuju dasar kerajaan dan, jika diterima dengan baik, boleh menjadi pemangkin kepada prestasi ringgit yang lebih baik.

 

"Kami tidak membuat perubahan pada unjuran keluaran dalam negara kasar (KDNK) 2023 kami sebanyak 4.6 peratus tahun ke tahun (y-o-y) dan unjuran KDNK 2024 pada 4.6 peratus," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.


 

tnb

 


Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd berkata bursa tempatan kekal optimis berikutan pelancaran rangka kerja Ekonomi Madani dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional untuk meningkatkan ekonomi Malaysia.

 

"Kami mengumpul beberapa inisiatif seperti membenarkan dagangan lot bersaiz lebih kecil dan saham pecahan serta membolehkan peralihan automatik untuk syarikat tersenarai di Pasaran ACE ke Pasaran Utama akan meningkatkan minat dagangan dalam Bursa Malaysia," katanya dalam nota hari ini. - DagangNews.com