Dasar Pengesyoran MYFutureJobs dilanjutkan 1 Januari 2021 | DagangNews Skip to main content

Dasar Pengesyoran MYFutureJobs dilanjutkan 1 Januari 2021

MYFutureJobs

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 10 Nov. - Pelaksanaan Dasar Pengesyoran MYFutureJobs yang mula berkuat kuasa pada 1 November 2020 dilanjutkan awal tahun hadapan mulai 1 Januari 2021.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, keputusan itu diambil selepas menerima dan mamahami kebimbangan majikan mengenai keperluan untuk mengiklan jawatan kosong melalui Portal MYFutureJobs dan mengadakan temuduga sebagai pra-syarat permohonan penggajian pekerja asing dan pegawai dagang.

"Sejak pengumuman dibuat (1 November 2020), KSM (Kementerian Sumber Manusia) menerima pelbagai maklum balas daripada majikan berkaitan dengan syarat-syarat khususnya permintaan untuk pengecualian syarat pengiklanan dan temuduga bagi Pegawai Dagang Kategori EP1 termasuk jawatan-jawatan utama dan pembaharuan kontrak.

"Pada masa yang sama, KSM juga peka dengan permintaan dewan-dewan perniagaan serta pihak industri untuk
mempertimbangkan kelulusan secara automatik dalam penggajian pegawai dagang tanpa perlu mengiklankan jawatan kosong dan hanya mengemukakan maklumat pasaran buruh yang diperlukan oleh KSM.

"Atas keprihatinan terhadap keperluan pihak majikan dan industri, KSM akan memberi tempoh lanjutan untuk pelaksanaan dasar ini di mana ianya hanya akan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2021," jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

 

M. Saravanan
M. Saravanan 

 

Dasar Pengesyoran MYFutureJobs yang berkuat kuasa pada 1 November 2020 sebelum ini adalah susulan daripada keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 4 Jun 2020 untuk memberi keutamaan kepada pekerja tempatan bagi mengisi kekosongan jawatan. 

Dasar yang diperkenalkan KSM itu amat penting dalam mengutamakan bakat tempatan dan ia merupakan faktor utama yang akan menyumbang kepada transformasi pasaran buruh negara. 

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, KSM juga akan bekerjasama dengan kementerian-kementerian yang
berkaitan untuk membincangkan syarat-syarat penetapan kelulusan automatik dan juga mekanisme pelaksanaan yang berkesan. 

Garis panduan yang dihasilkan daripada sesi libat urus itu akan dibentangkan untuk maklum balas daripada dewan-dewan perniagaan dan pihak industri sebelum dilaksanakan.

Tambah beliau, sebelum dasar ini dikuatkuasakan pada 1 Januari 2021, KSM ingin menggesa semua majikan supaya mengiklankan kekosongan jawatan dalam organisasi masing-masing di portal MYFutureJobs(www.myfuturejobs.gov.my) dan memberi sokongan kepada pengambilan tenaga kerja tempatan. 

"Melalui MYFutureJobs, perkhidmatan tambah nilai yang disediakan oleh KSM termasuklah memuat naik kekosongan jawatan, padanan resume dan pengambilan pekerja, semuanya dengan percuma," ujar beliau lagi. - DagangNews.com