KUALA LUMPUR 11 Ogos – Ringgit dijangka akan terus mengukuh didorong oleh dasar penstabilan negara yang bersifat mengurangkan ketidaktentuan dalam pasaran domestik dan luaran meskipun terdapat kebimbangan berikutan enam negeri mengadakan pilihan raya negeri (PRN) secara serentak pada 12 Ogos ini, kata Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia, Muhammad Ridhuan Bos Abdullah.
Menurut laporan Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) pada 7 Ogos, ringgit telah mengukuh sebanyak 2.5% berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sejak mesyuarat jawatankuasa tersebut pada 19 Jun lepas dan didagangkan lebih baik berbanding mata wang serantau lain.
"Dasar penstabilan dan pengukuhan ekonomi boleh mengimbangi (offset) kesan PRN dan pada ketika ini, asas ekonomi negara menunjukkan pengukuhan berdasarkan beberapa petunjuk utama seperti Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia, pendapatan isi rumah menunjukkan peningkatan dan menyokong pertumbuhan ekonomi domestik," beliau memberitahu DagangNews ketika dihubungi hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa dasar kewangan yang jelas dan konsisten dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.6% pada suku pertama serta pertumbuhan yang positif dalam pasaran buruh memberi kelebihan kepada daya saing ekonomi negara.
"Maksudnya dengan beberapa indikator yang ditunjukkan termasuklah KDNK sukuan, kadar faedah dan Kadar Dasar Semalaman (OPR), inflasi terkawal pada tahap tiga peratus, pertumbuhan guna tenaga kan memberi sokongan kepada matawang ringgit dan pada jangkaan rasional kita ekonomi kekal bertumbuh dan stabil," kata beliau lagi.
Muhammad Ridhuan menekankan bahawa berdasarkan pandangan rasional, pertumbuhan ekonomi dijangka akan berterusan dan bagaimanapun ia perlu disokong oleh pelaburan awam dan pelaburan swasta.
Ditanya mengenai kesan luaran ke atas pengukuhan ringgit, beliau berkata langkah bank pusat utama seperti AS dan China menyokong dasar pengembangan ekonomi seterusnya memberi sentimen dalam pengukuhan ringgit.
"Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS mungkin tidak menaikkan kadar faedah selepas ini atau dalam masa terdekat, dan dari aspek ekonomi, dasar monetari biasa dan bersifat neutral, jadi kenaikan mendadak kadar faedah AS boleh diimbangi," kata beliau lagi.
Namun Muhammad Ridhuan juga mengingatkan bahawa prestasi ringgit boleh menurun sekiranya berlaku kejutan besar yang menganggu KDNK negara.
"Kejutan yang dimaksudkan adalah situasi di mana kejutan tersebut menganggu komponen KDNK itu sendiri seperti sektor luaran yang diakibatkan oleh kejatuhan eksport serta defisit mendadak," jelas beliau.
Sementara itu, UOB Global Economics and Markets Research melaporkan bahawa pelabur asing terus menyumbang kepada aset pelaburan portfolio Malaysia pada Julai, membawa keseluruhan aliran masuk sebanyak RM12.7 bilion, menandakan aliran masuk portfolio asing bulanan terbesar sejak Mac 2016 dan pembelian asing bersih bagi tujuh bulan berturut-turut, tempoh paling lama sejak lewat 2020.
Kemasukan pelaburan ini didorong oleh aliran masuk bukan pemastautin ke dalam kedua-dua pasaran sekuriti hutang Malaysia bernilai RM11.3 bilion dan RM1.4 bilion ekuiti pada Julai.
Secara kumulatif, aliran masuk portfolio asing berjumlah RM29.6 bilion dalam tempoh tujuh bulan pertama 2023, disokong semata-mata oleh pembelian asing sekuriti hutang Malaysia kerana ekuiti mencatatkan aliran keluar sebanyak RM2.8 bilion setakat tahun ini.
Pada bulan lepas, semua instrumen hutang mencatatkan peningkatan dalam pembelian asing, diterajui oleh Sekuriti Kerajaan Malaysia (+RM7.6 bilion), Terbitan Pelaburan Kerajaan (+RM1.8 bilion), dan sekuriti hutang swasta, termasuk sukuk swasta (+RM1.0 bilion).
Pada masa yang sama, kadar pengangguran negara mencecah 3.4% pada Jun 2023 yang merupakan paras rendah baharu dalam tempoh pascapandemik.
Tenaga buruh dan guna tenaga masing-masing naik 1.9% dan 2.3% tahun ke tahun disokong oleh momentum domestik yang optimis. – DagangNews.com