De Paula sepak botol air selepas dikeluarkan pada separuh masa kedua | DagangNews Skip to main content

De Paula sepak botol air selepas dikeluarkan pada separuh masa kedua

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 7 Dis - Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe merasakan Guilherme de Paula sangat kecewa kerana gagal meledak sebarang gol dalam aksi Piala AFF 2020 ketika menetang Kemboja sehingga menyebabkan dia bertindak melepaskan kemarahan selepas dia dikeluarkan pada separuh masa kedua perlawanan.

 

Menurut laporan ESPN, De Paula menunjukkan reaksi tidak bersemangat kesukanan selepas digantikan dengan penyerang muda Luqman Hakim Shamsuddin pada babak kedua.

 

Pemain berusia 35 tahun itu didakwa menendang botol air di luar padang sejurus digantikan, kemudian merenung tajam ke arah penonton yang memberikan tepukan kepadanya sebelum membaling botol air ke bangku simpanan pasukan negara, dan terus menuju bilik persalinan.

 

“Sebagai seorang jurulatih, saya rasa kita akan berdepan perkara-perkara macam ini. Pastinya dia telah memberikan yang terbaik dalam latihan dan sangat komited tetapi kadang-kadang disebabkan kekecewaan tidak mendapatkan jaringan.

 

“Saya yakin de Paula cukup matang untuk mengawal situasi ini, dan saya harap dia akan memberikan motivasi yang baik, contoh kepada pasukan. Saya percaya dia bersedia untuk perlawanan seterusnya,” katanya.

 

Dalam perlawanan pertama itu, Harimau Malaya berjaya menewaskan Kemboja 3-1 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Bishan, Singapura.

 

Malaysia berjaya meraih tiga mata berharga selepas mengatasi skuad ‘Angkor Warriors’ menerusi sepakan penalti Muhammad Safawi Rasid, Muhammad Akhyar Abdul Rashid dan M. Kogileswaran.

 

Malaysia dijadual bertemu Laos pada Khamis ini, sebelum berdepan juara bertahan Vietnam (12 Disember) dan menentang Indonesia pada aksi terakhir kumpulan 19 Disember ini. - DagangNews.com