Decathlon Malaysia buka cawangan baharu ke-10 di Cyberjaya pada 15 Oktober 2022 | DagangNews Skip to main content

Decathlon Malaysia buka cawangan baharu ke-10 di Cyberjaya pada 15 Oktober 2022

Gambar Decathlon Malaysia
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 11 Okt - Decathlon Malaysia terus mengembangkan perniagaan alatan sukannya dengan pembukaan cawangan ke-10 di Malaysia yang terletak di Pusat Beli-Belah Dpulze, Cyberjaya pada 15 Oktober 2022.

 

Pusat sukan baharu yang hebat itu akan menjadi salah satu pusat terbesarnya setakat ini dan akan menempatkan lebih 5,000 produk eksklusif meliputi lebih daripada 60 sukan di bawah satu bumbung.

 

Premis terbesar itu menjanjikan peminat Decathlon yang terbaik daripada segi produk berkualiti tinggi namun mampu milik. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Decathlon Malaysia, Arnaud Sauret berkata, menjadi harapan mereka bahawa Decathlon Malaysia akan menjadi kedai utama untuk semua yang berkaitan dengan sukan. 

 

"Dalam usaha untuk memenuhi visi ini, kami merancang untuk mengembangkan sayap Decathlon di lebih banyak komuniti sukan di seluruh negara. Kelab Pencinta Sukan Decathlon MY memulakan lembaran baharu di cawangan Cyberjaya baharu ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua peminat setia Decathlon Malaysia yang menyokong jenama itu sejak ia mula bertapak di Bandar Sri Damansara pada 2016. 

 

Sementara itu, sempena pembukaan premis baharu tersebut pada 15 dan 16 Oktober, turut diadakan pelbagai aktiviti menarik untuk pengunjung, antaranya senaman Mega-Zumba, Mega-Yoga dan Mega-Workout Session.

 

 

decathlon

 

 

Decathlon Cyberjaya juga menawarkan kad hadiah RM50 pada 15 Oktober untuk 250 pelanggan pertama.

 

Bagi penggemar larian, daftar untuk Decathlon Fun Run di sekitar Cyberjaya. Berlangsung pada 16 Oktober, Fun Run sejauh 5 kilometer kepada semua peserta di pintu masuk utama Dpulze. 

 

Peserta boleh memilih sama ada untuk berjalan, berjoging atau berlari sepanjang laluan.

 

Decathlon berharap kedai baharu di Cyberjaya dapat membantu mempromosikan perbandaran Cyberjaya dan juga menjadi platform untuk aktiviti sukan selanjutnya dalam masa terdekat menggunakan kemudahan pusat beli-belah tersebut.

 

Ia juga dengan harapan dapat membantu memangkin komuniti sukan di Cyberjaya, serta kawasan jiran Putrajaya yang lain. - DagangNews.com