George Kent raih kontrak pertama di Sarawak bernilai RM26.7 juta | DagangNews Skip to main content

George Kent raih kontrak pertama di Sarawak bernilai RM26.7 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Dis - George Kent (Malaysia) Bhd memperoleh kontrak bernilai RM26.7 juta daripada Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak bagi Projek Grid Bekalan Air di Bintulu.

 

Kontrak itu merupakan yang pertama buat kumpulan itu di Sarawak.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, projek itu akan meningkatkan infrastruktur bekalan air dengan ketara di sepanjang Jalan Bakun dari Laban ke kawasan Tubau di Bintulu.

 

Katanya, kontrak itu menandakan kemenangan projek pertama George Kent di Sarawak, satu peristiwa penting yang menggariskan kejayaan syarikat itu meluaskan jejak di Malaysia.

 

"Skop kerja untuk projek ini termasuk pembekalan, penghantaran, pemasangan, ujian, dan pentauliahan sistem mekanikal dan elektrik.

 

"Projek infrastruktur penting ini bertujuan untuk menyediakan akses yang boleh dipercayai dan mampan kepada air bersih untuk komuniti di Sarawak, menyokong pembangunan wilayah dan meningkatkan kualiti hidup penduduk," katanya.

 

Bagi projek itu, kumpulan akan bekerjasama dengan Techkem Utilities, yang telah dilantik sebagai subkontraktor utama oleh EPR (Kuching), kontraktor utama untuk projek ini di bawah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak.

 

Kerjasama ini menyerlahkan komitmen George Kent membentuk perkongsian strategik yang menyatukan kepakaran dan sumber untuk menyampaikan projek berimpak tinggi.

 

Kerja-kerja projek ini telah dimulakan dan dijangka siap pada 30 Jun 2026.

 

Pengerusi Eksekutif George Kent, Tan Sri Tan Kay Hock, berkata, projek itu merupakan detik penting bagi kumpulan kerana ia menandakan usaha pertama kami ke dalam pasaran Sarawak. - DagangNews.com