Desas-desus PKP : PM bakal umum sesuatu Isnin depan | DagangNews Skip to main content

Desas-desus PKP : PM bakal umum sesuatu Isnin depan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 Jan. - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal mengumumkan sesuatu berhubung pelaksanaan sekatan pergerakan pada Isnin depan, 11 Januari 2020. 

 

Ini antara lainnya merungkai persoalan dan spekulasi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali kedua yang berlegar di setiap platform media sosial, kata Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. 

 

“Jadi, saya tahu hari ini ramai yang ternanti-nanti laporan harian saya untuk menunggu sama ada terdapat tindakan yang lebih ketat dan tegas.

 

Ismail Sabri
Ismail Sabri Yaakob

 

“Seperti saya katakan, kerajaan sentiasa mendengar keluhan, rintihan dan pandangan rakyat, dan sedang mempertimbangkan (langkah wajar).

 

“Kita tunggu apa pengumuman yang nak dibuat nanti, dan kita bersedialah dengan pengumuman itu nanti,” katanya dalam sidang khas hari ini.  

 

Hari ini, tular spekulasi yang mengatakan kerajaan bakal melaksanakan sekatan pergerakan lebih ketat bermula minggu hadapan. 

 

Sejak beberapa hari lalu, isu pelaksanaan PKP ini mula timbul apabila Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah mencadangkan untuk negara memperkenalkan semula tindakan itu, tetapi lebih bersasar dan tidak menyeluruh. 

 

Mengulas mengenai cadangan itu, Ismail Sabri berkata, perkara berkenaan telah dibawa ke peringkat perbincangan sejak minggu lalu termasuk di mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan teknikal. 

 

Semua mesyuarat itu melibatkan perbincangan dengan Muhyiddin, Kementerian Kesihatan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Kementerian Kewangan yang membentangkan laporan masing-masing. 

 

“Kita sedang meneliti dan menyediakan prosedur operasi standard (SOP) dan pelbagai lagi, yang dicadangkan supaya apabila diumum nanti ia boleh diterima oleh semua. 

 

“Ada yang mahu (SOP) diketatkan, ada yang tidak mahu diketatkan. Bagi peniaga, kalau boleh tidak mahu ada SOP kerana menyukarkan perniagaan mereka. Ada yang bimbang, takut perniagaan ditutup. 

 

“Jadi, tunggu lah Isnin nanti,” ujarnya lagi. - DagangNews.com