Desatera terus beri khidmat katering, pengurusan fasiliti kepada Tentera Darat | DagangNews Skip to main content

Desatera terus beri khidmat katering, pengurusan fasiliti kepada Tentera Darat

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Desatera Sdn Bhd (DSB), sebuah usaha sama antara Dewina Holdings Sdn Bhd dan Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad mengukuhkan peranannya dengan memberikan perkhidmatan katering dan pengurusan fasiliti kepada angkatan tentera Malaysia.

 

DSB telah memberikan perkhidmatan kepada Tentera Darat Malaysia selama lebih 27 tahun, menunjukkan komitmen yang mendalam terhadap kualiti dan kebolehpercayaan dalam setiap aspek operasinya.

 

Menurut kenyataan bersama hari ini, perkhidmatan DSB adalah penting bagi memastikan anggota Tentera Darat Malaysia mendapat pemakanan yang baik dan bersedia untuk memenuhi tugas-tugas mereka yang mencabar.

 

"Dalam tempoh lebih dua dekad, DSB telah berkembang untuk menguruskan dapur tentera di 65 kem di seluruh negara, menyediakan sehingga 20,000 hidangan setiap hari," ujarnya. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif DSB, Datuk Paduka Feizal Nur Nurbi berkata, setiap hari pasukan mereka menyediakan lima hidangan yang disusun dengan teliti, mematuhi piawaian tertinggi dari segi pemakanan dan rasa.

 

Menurut DSB dan Dewina Holdings, rantaian bekalan mereka yang kukuh dan kerjasama strategik dengan pembekal yang dipercayai bagi memastikan bahan-bahan terbaik digunakan menunjukkan dedikasinya terhadap kualiti pemakanannya.

 

"Komitmen ini turut merangkumi inisiatif inovatif kami, seperti projek 'Rantaian Kelestarian Makanan Tentera', yang memanfaatkan pertanian regeneratif untuk meningkatkan keselamatan makanan dan mengurangkan kos. 

 

"Projek yang berpandangan jauh ini menekankan peranan kami bukan hanya untuk memenuhi keperluan semasa tetapi juga untuk membentuk masa depan yang mampan bagi bekalan makanan tentera," ulasnya. 

 

DSB juga menawarkan pelbagai jenis perkhidmatan termasuk katering mudah alih, perkhidmatan bufet dan jamuan, serta penyelesaian hidangan yang disesuaikan untuk pelbagai acara dan sektor.

 

 

nnn
Ketua Pegawai Eksekutif DSB, Datuk Paduka Feizal Nur Nurbi

 

Feizal Nur turut menggariskan misi DSB untuk memberikan sokongan padu kepada Tentera Darat Malaysia, memastikan setiap hidangan yang disajikan memenuhi piawaian kualiti dan pemakanan yang tertinggi. 

 

"Kami komited untuk terus memperbaiki dan berinovasi, bekerja keras untuk menyokong angkatan tentera kita dan menyumbang kepada keselamatan makanan negara,” ulas beliau.

 

Melangkah ke hadapan, DSB kekal komited untuk meningkatkan piawaian dan meluaskan capaiannya, menyediakan perkhidmatan gastronomi yang terbaik sambil menyokong Angkatan Tentera Malaysia serta menyumbang kepada keselamatan makanan negara. - DagangNews.com