KUALA LUMPUR 21 Julai - Dagang NeXchange Bhd (DNeX) melantik bekas Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani sebagai timbalan pengerusinya, berkuat kuasa 1 Ogos.
Acryl Sani, 61, yang berkhidmat dalam pasukan polis selama 37 tahun, akan mengambil peranan sebagai timbalan pengerusi bebas dan bukan eksekutif.
Beliau merupakan KPN ke-13 negara yang dilantik pada Mei 2021, sebelum bersara pada 22 Jun tahun ini.
“Acryl Sani memulakan kerjayanya dalam pasukan polis pada 2 Februari 1986 sebagai penolong penguasa kadet.
"Sejak itu, beliau telah memegang pelbagai jawatan dalam pasukan polis, termasuk pengarah jabatan keselamatan dalam negeri dan ketenteraman awam, pengarah jabatan siasatan jenayah komersial dan pengarah jabatan logistik dan teknologi,” kata DNeX dalam makluman di Bursa Malaysia.
Beliau kini memegang 375,000 saham dalam kumpulan syarikat itu.
Pada Disember tahun lepas, DNeX melantik semula pengarah urusannya Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir sebagai pengerusi eksekutif, menggantikan Tan Sri Abdul Rahman Mamat yang meletak jawatan untuk mengejar kepentingan korporat lain.
Saham DNeX ditutup tidak berubah pada 49 sen pada Khamis, memberikan kumpulan itu permodalan pasaran RM1.55 bilion. - DagangNews.com