Dokumen sulit TLDM ‘bocor’ di web gelap | DagangNews Skip to main content

Dokumen sulit TLDM ‘bocor’ di web gelap

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Kira-kira 70 dokumen daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dilaporkan dimuat naik di web gelap pada bulan lalu.

Menurut laporan The Straits Times (ST) Singapura, maklumat yang dimuat naik itu difahamkan dari sumber berbeza yang telah menggodam akaun e-mel personel.

Bagaimanapun, niat di sebalik perbuatan demikian belum diketahui, sama ada untuk menjual atau berkongsi data berkenaan. 

Dokumen berkenaan mengandungi beberapa maklumat mengenai jumlah tentera di sebahagian pangkalan tentera dan tentera laut tahun lalu, keperluan untuk peperiksaan tentera laut, senarai nama pegawai kanan dan lebih muda yang didakwa atas rasuah, salah guna dadah dan ketakhadiran tanpa kebenaran.

Salah satu dokumen berkenaan turut mengandungi surat diplomatik Amerika Syarikat (AS) pada Julai lalu yang menjelaskan kelengkapan radar kapal Tentera Laut AS dan frekuensi yang digunakan ketika meminta kapal itu berlabuh di sebuah pelabuhan di Sabah pada bulan Ogos tahun lalu.

Menurut ST, portal web gelap yang membocorkan dokumen TLDM juga mengandungi pautan ke maklumat sulit daripada akaun e-mel personel Nigeria, Eropah dan kontraktor pertahanan India yang digodam.

Web gelap merupakan sebuah rangkaian yang tidak boleh diakses oleh pengguna Internet biasa.

Rangkaian itu sering digunakan untuk aktiviti haram yang tidak mudah ditangkap oleh tindakan undang-undang dan orang awam.

Selalunya, maklumat yang digodam dan dicuri dijual atau didagangkan menggunakan mata wang kripto di web gelap. - DagangNews.com