Dua pengasas Kargo Xpress saman MMAG Holdings tuntut ganti rugi RM50 juta | DagangNews Skip to main content

Dua pengasas Kargo Xpress saman MMAG Holdings tuntut ganti rugi RM50 juta

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 14 Julai - Dua pengasas Kargo Xpress (M) Jets International Sdn Bhd telah memfailkan saman  RM50 juta di Mahkamah Tinggi terhadap MMAG Holdings Berhad (MMAG) dan lapan yang lain kerana konspirasi untuk mencederakan mereka.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia pada Rabu, MMAG berkata, Lembaga Pengarah MMAG Holdings Berhad ingin mengumumkan bahawa MMAG dan Pengarahnya, Kenny Khow Chuan Wah dan Chong Koon Meng telah menerima Writ Saman dan Notis Tuntutan bertarikh 10 Julai 2023 pada 12 Julai.

 

M Gunasekar dan Philip Phang sedang berusaha mendapatkan semula pelaburan awal mereka sebanyak RM9.6 juta, RM30.5 juta kerugian keuntungan, dan RM9.8 juta lagi atas kehilangan insentif bonus. Mereka juga menuntut ganti rugi am dan teruk, yang kesemuanya berjumlah RM49.9 juta.

 

Selain MMAG, saman itu menamakan Chin Boon Long, Kenny Khow Chuan Wah, Chong Koon Meng, M Jets, R Shanmuganathan, M Saysu, Anton Alex Schubert dan JT Aerotech Solutions (JTAS) Sdn Bhd sebagai defendan.

 

Khow dan Chong adalah pengarah dalam MMAG.

 

Menurut MMAG dalam makluman di Bursa Malaysia, "plaintif masing-masing telah diambil bekerja sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Kewangan MJETS, dan pernah menjadi Pengarah Eksekutif MJETS".

 

"Plaintif telah disingkirkan sebagai Pengarah MJETS pada 17 Mac 2023 dan disingkirkan daripada peranan eksekutif mereka pada 12 April 2023, akibat pelanggaran kewajipan fidusiari mereka terhadap MJETS.

 

"Woo Kam Weng telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MJETS untuk menyelia dan menguruskan operasi harian dan kesinambungan perniagaan MJETS," kata MMAG.

 

Syarikat itu turut memaklumkan satu lagi tuntutan yang difailkan berkaitan dengan saman undang-undang lain yang telah difailkan terhadap plaintif oleh MJETS di bawah Saman Sivil Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, antara lain, pelanggaran kewajipan fidusiari mereka terhadap MJETS (seperti sebelum ini diumumkan oleh MMAG pada 14 April 2023).

 

"Serta tuntutan penindasan minoriti Plaintif terhadap MMAG dan MJETS di bawah Saman Sivil Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur No. WA-24NCC-678-05/2022 yang ditolak oleh Mahkamah Tinggi (seperti diumumkan pada 19 Ogos 2022)," kata MMAG. - DagangNews.com