KUALA LUMPUR 24 Ogos - Dutch Lady Milk Industries Berhad (DLMI) mencatat peningkatan 12.6% dalam keuntungan bersih kepada RM24.3 juta dan kenaikan 3.3 peratus dari segi hasil kepada RM351 juta pada suku kedua (Q2) berakhir 30 Jun berbanding tempoh yang sama pada 2022.
Keuntungan operasi tidak termasuk susut nilai yang dipercepatkan dan sekali sahaja berjumlah RM37.7 juta berbanding RM32.9 juta dari setahun lalu, peningkatan sebanyak 17.1%.
Peningkatan tersebut disebabkan oleh inisiatif pengoptimuman kos syarikat dan langkah pengurusan pertumbuhan Hasil untuk membendung tekanan inflasi, dan penimbalan terhadap kadar pertukaran dolar Amerika Syarikat.
Susut nilai aset sedia ada yang dipercepatkan di kilang Petaling Jaya juga konsisten dengan pengumuman awal berkaitan pelaburan dalam kilang pembuatan baharu di Bandar Enstek.
Pengarah Urusan DLMI, Ramjeet Kaur Virik berkata, syarikat itu akan terus memastikan rangkaian luas produk mampu milik melalui penetapan harga strategik.
DLMI akan kekal teguh dalam tujuannya untuk konsep 'Menyuburkan Negara Kita' dan terus memacu kedudukannya sebagai peneraju pasaran dengan terus beroperasi dalam pasaran yang tidak menentu berikutan ketidaktentuan dan cabaran global serta potensi perubahan kawal selia.
Ramjeet berkata, syarikat itu akan terus menguruskan aliran tunainya dengan ketat untuk mengemudi DLMI dalam pasaran yang sukar dan menguruskan pembiayaan dalaman untuk pembinaan kemudahan baharu di Bandar Enstek.
DLMI, peneraju pasaran terkemuka sejak 1963, telah menunjukkan komitmen mendalam kepada Malaysia dengan melabur RM540 juta dalam kilang pembuatan bertaraf dunia baharu yang sedang dalam pembinaan di Bandar Enstek. Kilang pembuatan sedia masa hadapan akan beroperasi sepenuhnya pada 2024.
“Kami akan kekal fokus pada misi kami dan pada masa yang sama, mengekalkan margin kasar yang sihat untuk membolehkan DLMI terus melabur dalam aset kami; jenama dan orang kami” kata Ramjeet sambil menambah ini akan memacu penglibatan jangka panjang untuk menjadikan syarikat sebagai majikan pilihan serta meningkatkan penembusan susu.
DLMI kekal optimistik dengan berhati-hati untuk jangka panjang berikutan kekuatan jenama yang teguh dan kesedaran pihak berkepentingan yang semakin meningkat tentang keperluan kritikal untuk pemakanan tenusu dalam kalangan rakyat Malaysia terutamanya kanak-kanak.
Syarikat dalam dekad akan datang akan terus menyokong dan bekerjasama dengan agenda kesihatan Kerajaan dalam memerangi penyakit tidak berjangkit seperti stunting dan obesiti pada kanak-kanak.
DLMI juga terus komited dalam menyokong Kerajaan mencapai tahap sara diri 100% dalam pengeluaran susu segar tempatan dengan meningkatkan kemahiran penternak tenusu tempatan untuk meningkatkan kualiti dan jumlah susu. Ini adalah sebahagian daripada pendekatan Perkongsian Swasta-Awam DLMI untuk terus mempertingkat agenda keselamatan makanan negara.
Meraikan Ulang Tahunnya yang ke-60 di Malaysia, DLMI dengan tarikan generasi ikonik kepada pengguna Malaysia sejak 1963, kekal tidak berbelah bahagi dalam komitmennya untuk terus Menyuburkan Planet dan Rakyat Kita dalam Setiap Peringkat Kehidupan. - DagangNews.com