KUALA LUMPUR 11 Ogos - EA Holdings Bhd menggesa pemegang sahamnya supaya tidak hadir dan mengundi pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 22 Ogos yang dianjur oleh pemegang saham besar Ng Cheng Shin.
Penyedia perkhidmatan ICT itu berkata notis EGM yang dikeluarkan oleh Ng pada 7 Ogos "adalah bebas daripada syarikat" dan bertentangan dengan terma dua perintah injunksi interim bertarikh 1 Ogos dan 2 Ogos yang diperoleh oleh Vinvest Capital Holdings Bhd di Mahkamah Tinggi.
BERITA BERKAITAN: Pemegang saham besar EA Holdings gesa adakan EGM singkir enam pengarah
Notis itu dianggap oleh syarikat itu sebagai rosak dan tidak sah, kata EA Holdings dalam makluman di Bursa Malaysia.
“Sebarang percubaan yang dimaksudkan atau dikatakan untuk mengadakan sebarang EGM atas nama syarikat adalah melanggar perintah injunksi ad interim tersebut dan mana-mana individu yang mencuba langkah sedemikian mungkin tertakluk kepada prosiding menghin mahkamah,” tambahnya.
Ng, yang mendakwa memegang sekurang-kurangnya 10% kepentingan ekuiti dalam EA Holdings, telah menggesa EGM untuk memecat enam pengarah dan menggantikan mereka dengan empat calon baharu. Bagaimanapun, notis EGM itu belum difailkan dengan Bursa Malaysia setakat Khamis.
Enam pengarah itu ialah Mohammad Sobri Saad yang juga CEO/Pengarah Eksekutif serta pengasas syarikat, Basir Bachik, Datuk Azahar Rasul, Abdul Fattah Mohamed Yatim, Choo Seng Choon dan Wong Wan Rou.
Ng sedang berusaha untuk melantik dirinya bersama tiga individu lain, iaitu Chin Yew Thong, Adrian Foong Heng Nian dan Teh Chee Chong sebagai pengarah baharu syarikat itu.
EA Holdings menjadi tumpuan baru-baru ini selepas Vinvest Capital memfailkan saman terhadap EA Holdings dan See Jovin, yang disifatkan sebagai penganalisis pasaran saham, berhubung dakwaan kehilangan 17.82% kepentingan Vinvest dalam EA Holdings.
Vinvest mendakwa bahawa penipuan telah dilakukan oleh EA Holdings dan See. - DagangNews.com